Wednesday, February 1, 2017

[Viral] Lelaki Ini Dalam Kesusahan Semasa Mahu Menghantar Isterinya Ke Hospital Kerana Ingin Bersalin. Beliau Menceritakan Sikap Prihatin Koperal Ini Mengelakkan Kejadian Yang Tidak Diingini Berlaku...

Beliau sendiri tidak menyangka pertolongan ikhlasnya kepada seorang lelaki yang mahu menghantar isterinya ke hospital kerana mahu bersalin bukan sahaja mendapat perhatian daripada netizen malah Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein turut mengucapkan tahniah atas keprihatinan dan rasa tanggungjawabnya kepada masyarakat.


Koperal Shahrudin Siampak menberitahu beliau tergerak untuk memberi bantuan selepas menyedari kenderaan pasangan suami isteri itu memberikan isyarat kecemasan ekoran keadaan trafik ketika itu sesak kerana waktu puncak.

“Saya merapatkan motosikal saya dengan kereta itu dan bertanya kepada pemandu kenapa seperti tergesa-gesa. Pada ketika itu juga saya melihat isterinya sedang menahan kesakitan (untuk bersalin).

“Saya kemudiannya memberi bantuan apa yang saya mampu ketika itu iaitu memastikan kenderaan mereka diberi laluan oleh kenderaan lain agar perjalanan ke hospital berhampiran adalah lancar,” katanya.

Kisah Shahrudin yang membantu pasangan itu pada 23 Jan lepas menjadi tular selepas dikongsikan oleh pengguna Facebook dengan nama Aziz Azizudin, yang turut dikongsikan Hishammuddin selain lebih 2,000 pengguna Facebook.

Dalam postingnya semalam, Hishammuddin berkata rasa tanggungjawab dan sifat keprihatinan Shahrudin wajar menjadi contoh dan inspirasi kepada semua pihak khususnya anggota tentera.
“Beliau (Koperal Shahrudin) telah buktikan dalam apa jua situasi, tentera dan rakyat sentiasa bersama,” katanya.

Shahrudin, 31, yang bertugas di Kem Lok Kawi, dekat sini, berkata beliau tidak pernah terfikir bantuannya itu menjadi tumpuan netizen kerana baginya ia perkara biasa kerana kerjayanya melatih supaya membantu individu yang dalam kesusahan.

“Tidak semestinya kami hanya ditugaskan untuk ke medan perang sahaja, tetapi kami juga dilatih untuk memberi bantuan kepada yang memerlukan pertolongan,’ katanya yang sudah mendirikan rumah tangga dan mempunyai seorang anak perempuan berumur dua tahun.


Sumber: Bernama | SBP