Wednesday, September 21, 2016

Polis Nafi Mesej Viral Tahan Dua Anggota Abu Sayyaf.

Polis hari ini menafikan mesej yang disebarkan di aplikasi WhatsApp dan Facebook mengenai dua anggota militan Abu Sayyaf ditahan di daerah ini. 


Ketua Polis Daerah Kinabatangan Supt A. Sahak Rahmat berkata Ibu Pejabat Polis Kinabatangan tidak pernah membuat mana-mana tangkapan terhadap anggota militan Abu Sayyaf setakat ini. 

“Pihak polis memohon orang ramai agar tidak cepat mempercayai segala maklumat yang disebarkan hingga menjadi viral tanpa mendapat pengesahan terlebih dahulu daripada pihak polis. 

“Ini kerana berita-berita yang disebarkan melalui laman sosial tanpa kebenaran akan menyebabkan masyarakat gusar dan boleh menyebabkan ketenteraman tergugat,” katanya pada sidang media di sini, Rabu. 

Beliau berkata masyarakat perlu lebih bertanggungjawab dan tidak mudah menyebar sesuatu berita meskipun mengetahui berita itu adalah palsu. 
Katanya sesiapa yang didapati menyebarkan berita palsu, mereka boleh didakwa di bawah Seksyen 223 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, katanya. 

Menurutnya setakat ini, polis belum menerima laporan berkenaan mesej yang diviralkan itu. 

A. Sahak berkata kerjasama dengan pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) juga akan dilakukan sejurus laporan berkenaan diterima. 

“Gunakan informasi teknologi dengan sebaiknya dan bukan menyebarkan hal-hal yang mendatangkan kebimbangan kepada masyarakat,” katanya. 

Beliau berkata pada masa ini, daerah Kinabatangan masih dalam keadaan selamat dan terkawal.

Sumber: Bernama | SBP