Showing posts with label politik. Show all posts
Showing posts with label politik. Show all posts

Sunday, August 28, 2016

MALAYSIA Tidak Pernah MERDEKA, Anak-Anak SABAH Dan SARAWAK Sila Berhenti Menyambut HARI KEMERDEKAAN / KEBANGSAAN MALAYA Ke 59.

Kemerdekaan 31 Ogos 1957 atau ke 59 tahun tiada kaitan dan signifikan langsung pada rakyat Sabah dan Sarawak kerana tarikh tersebut adalah KEMERDEKAAN MALAYA. 

Ulang suara, MALAYA PUNYA TARIKH KEMERDEKAAN.

Kenapa harus rakyat Sabah dan Sarawak menyambut Kemerdekaan Malaya sedangkan Sabah dan Sarawak masing-masing mempunyai tarikh kemerdekaan sendiri iaitu 31 Ogos 1963 dan 22 Julai 1963.

Hari Merdeka

Hanya SATU TARIKH yang mempunyai persamaan, signifikan, kepentingan malah KAITAN antara SABAH, SARAWAK dan MALAYA iaitu 16hb SEPTEMBER 1963.

Sampai bila SEJARAH LONGKANG Malaysia kononnya Merdeka ini dilaung-laungkan terutama disambut dan diajar kepada anak2 yang masih kecil tentang tarikh KEMERDEKAAN PALSU MALAYSIA ini sekolah-sekolah? 

MERDEKA MALAYSIA KONON GAMAKNYA.

MALAYSIA TIDAK PERNAH MERDEKA, ANAK-ANAK SABAH DAN SARAWAK SILA BERHENTI MENYAMBUT HARI KEMERDEKAAN/KEBANGSAAN MALAYA KE 59.
Jika anda berhenti menyambutnya, anda menidakkan penjajahan minda ini, jika anda terus menyambutnya, anda adalah faktor Sabah Sabah dan Sarawak terus terjajah minda sampai bila-bila akhirnya MERDEKA SEBENAR tidak akan hadir turun temurun dalam kehidupan seketurunan.

Kepada RAKYAT MALAYA, Silakan Menyambut hari Kemerdekaan Ke-59 anda, tidak diarang, cuba diharamkan mengiyakan bahawa Merdeka Malaya itu adalah Merdeka Malaysia kerana Malaysia ditubuhkan, bukan dimerdekakan.

Para Pemimpin Sabah dan Sarawak, BERHENTILAH mengiyakan penjajahan minda ini, berhentilah membawa rakyat Sabah dan Sarawak menyambut kemerdekaan Malaya mahupun menghambakan diri kepada regim Malaya.

Krediy:- Anthony Tibok

Thursday, August 4, 2016

Bendera Persekutuan Tanah Melayu (Malaya), Yang Bertopengkan Bendera Persekutuan Malaysia Perlu Ditukar.

Bendera Malaysia (sepatutnya disebut 'Bendera Persekutuan Malaysia') sekarang yang mempunyai 14 jalur perlu ditukar kepada hanya tiga jalur, yang menunjukkan 'Persekutuan Tiga Negara', iaitu Negara Malaya (Persekutuan Tanah Melayu) + Negara Sabah + Negara Sarawak.

Hanya Bendera Negara Malaya yang mempunyai 11 jalur (menunjukkan sebelas negeri di Tanah Melayu yang bersekutu membentuk Persekutuan Tanah Melayu) yang perlu dikibar pada 31 Ogos, sebagai memperingati tarikh kemerdekaan Negara Malaya daripada British pada 31 Ogos 1957. Pada tarikh ini (31 Ogos), Bendera Persekutuan Malaysia tidak perlu dikibarkan bersama Bendera Persekutuan Tanah Melayu (Malaya).
Sementara Bendera Negara Sarawak perlu dikibarkan pada 22 Julai setiap tahun sebagai memperingati tarikh kemerdekaan Negara Sarawak daripada British pada 22 Julai 1963. Pada tarikh ini (22 Julai), Bendera Persekutuan Malaysia tidak perlu dikibar bersama Bendera Negara Sarawak.

Manakala Bendera Negara Sabah perlu dikibar pada 31 Ogos setiap tahun sebagai memperingati tarikh kemerdekaan Negara Sabah daripada British pada 31 Ogos 1963. Dan pada tarikh ini (31 Ogos), Bendera Persekutuan Malaysia tidak perlu dikibar bersama Bendera Negara Sabah.

Kemudian pada 16 September setiap tahun, Negara Malaya + Negara Sabah + Negara Sarawak hendaklah mengibarkan Bendera Persekutuan Malaysia sebagai memperingati tarikh pembentukan Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963. Dan hanya pada tarikh ini sahaja (16 September), Bendera Negara Malaya, Bendera Negara Sabah dan Bendera Negara Sarawak hendaklah dikibarkan bersebelahan dengan Bendera Persekutuan Malaysia. Dengan kata lain, 'Bendera Persekutuan Malaysia' hanya dikibar bersama 'Bendera Negara' masing-masing pada 16 September setiap tahun.

Sejarah Penipuan dan Penjajahan Malaya Ke Atas Sabah dan Sarawak

Mengapa Bendera Malaysia (yang sepatutnya disebut 'Bendera Persekutuan Malaysia') sekarang ada 14 jalur? Sebabnya ialah, sebelas (11) jalur yang pertama adalah merujuk kepada 11 negeri di Tanah Melayu yang telah bersekutu membentuk Persekutuan Tanah Melayu (Malaya) pada tahun 1948, yang kemudiannya persekutuan ini telah mencapai kemerdekaan daripada British pada 31 Ogos 1957, dan selepas itu berstatus ‘Negara Malaya’.


Selepas Persekutuan Tanah Melayu (Malaya) mencapai kemerdekaan daripada British pada 31 Ogos 1957, Kerajaan Negara Malaya telah mereka cipta Bendera Negara Malaya yang mempunyai 11 jalur. Sebelas (11) jalur pada Bendera Negara Malaya ini merujuk kepada 11 negeri di Tanah Melayu yang telah bersekutu membentuk Persekutuan Tanah Melayu (Malaya).

Perlu diingat fakta sejarah, selepas pembentukan Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963, Negara Malaya masih menggunakan Bendera Negara Malaya yang mempunyai 11 jalur itu. Dan selepas 16 September 1963, Persekutuan Malaysia yang pada mulanya terdiri daripada ‘Persekutuan 4 Negara’ (Negara Malaya + Negara Singapura + Negara Sabah + Negara Sarawak), sepatutnya mempunyai satu bendera yang melambangkan 'Persekutuan Empat Negara'.

Dan walaupun selepas Kepemimpinan Kerajaan Pusat Malaya (yang bertopengkan Kerajaan Pusat Malaysia) menyingkirkan Singapura daripada Persekutuan Malaysia pada tahun 1965 tanpa pengetahuan/ tanpa merujuk kepada Sabah dan Sarawak, sepatutnya terdapat satu bendera baharu yang direka cipta bagi melambangkan 'Persekutuan Tiga Negara', iaitu Negara Malaya + Negara Sabah + Negara Sarawak yang mempunyai tiga jalur sahaja. Tegasnya, 'Bendera 'Persekutuan Malaysia' sekarang yang terdiri daripada ‘Persekutuan Tiga Negara’, iaitu Negara Malaya + Negara Sabah + Negara Sarawak, sepatutnya hanya tiga (3) jalur sahaja, dan bukan 14 jalur!


Tetapi hal itu tidak berlaku apabila Kepemimpinan Kerajaan Pusat Malaya yang bertopengkan ‘Kepemimpinan Kerajaan Pusat Malaysia’, dengan disokong dan dibantu oleh Kepemimpinan Kerajaan Negara Sabah yang menjadi boneka, proksi dan ejen penjajahan, telah memanipulasi ‘Perlembagaan/ Undang-undang Kerajaan Pusat (Kerajaan Persekutuan) dan ‘Perlembagaan/ Undang-undang Kerajaan Negara Sabah, telah meminda atau memansuhkan imuniti-imuniti hak-hak dan kuasa-kuasa ‘Negara Sabah’, yang kemudiannya telah menurunkan taraf ‘Negara Sabah’ dan ‘Negara Sarawak’ kepada ‘Negeri Sabah’ dan ‘Negeri Sarawak’ pada tahun 1976. Penurunan taraf ‘Negara Sabah’ dan ‘Negara Sarawak’ ini kemudiannya diikuti dengan penurunan taraf ‘Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negara Sabah’ dan ‘Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negara Sarawak, serta lain-lain hak dan kuasa kemerdekaan Negara Sabah dan Negara Sarawak.

Selepas penurunan taraf ‘Negara Sabah’ dan Negara Sarawak’ ini, ‘Negara Sabah’ telah diletakkan kod sebagai ‘Negeri Ke-12’, dan ‘Negara Sarawak’ telah diletakkan kod sebagai ‘Negeri Ke-13’ dalam ‘Persekutuan Tanah Melayu (Malaya)! Seolah-olah Sabah dan Sarawak adalah ‘Negeri’ di dalam ‘Persekutuan Tanah Melayu (Malaya)’! Kod ‘Negara Sabah’ pada mulanya bermula dengan huruf ‘H’, iaitu huruf terakhir dalam perkataan ‘SABAH’. Sebab itu pada awal pembentukan ‘Persekutuan Malaysia’, Warganegara Sabah mempunyai Kad Pengenalan bermula dengan huruf ‘H’, bukannya ‘12’. Manakala kod ‘Negara Sarawak’ bermula dengan huruf ‘K’, iaitu huruf terakhir dalam perkataan ‘SARAWAK’. Maka itu pada awal pembentukan ‘Persekutuan Malaysia’, Warganegara Sarawak mempunyai Kad Pengenalan bermula dengan huruf ‘K’, bukannya ‘13’!

Oleh sebab itu, selepas tahun 1976, Bendera Persekutuan Tanah Melayu (Malaya) yang bertopengkan ‘Bendera Persekutuan Malaysia’ mempunyai 14 jalur! Jalur ke-12 dalam ‘Bendera Persekutuan tanah Melayu (Malaya) sekarang merujuk kepada 'Negeri Sabah' yang telah diletakkan sebagai 'Negeri Ke-12 di Malaya'; sementara jalur ke-13 merujuk kepada 'Negeri Sarawak' yang diletakkan sebagai 'Negeri Ke-13 di Malaya'; dan manakala jalur ke-14 merujuk kepada Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Sungguh licik, jijik dan hina agenda penipuan dan penjajahan Kepemimpinan Kerajaan Pusat Malaya terhadap Sabah dan Sarawak!

“Penjajahan paling kejam dalam sejarah penjajahan adalah dengan mengubah fakta sejarah kenegaraan dan menghilangkan identiti asal sesebuah negara dan bangsa”. - DJI, Aktivis dan Nasionalis Sabah

Wednesday, July 27, 2016

Tak Terjejas Isu 1MDB, Najib Jalani Tugas Seperti Biasa.

TATKALA Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) menggemparkan dunia dengan bertindak memfailkan saman ke atas dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), nun jauh beribu batu di sini, tugas berjalan seperti biasa bagi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menghadiri jamuan makan malam kakitangan awam, Najib dilihat bersalaman dan memenuhi permintaan untuk bergambar selfie bersama.


Keesokan harinya, beliau sempat hadir ke pameran model kereta terbaru pembuat kereta terbesar negara ini dan mengadakan sebuah mesyuarat perancangan pembangunan nasional. Cuma sedikit daripada masa beliau dicuri untuk menyentuh mengenai saman yang dibuat AS keatas 1MDB, di mana beliau menyatakan bahawa pihak tersebut sepatutnya dibenarkan untuk meneruskan apa yang mereka sedang lakukan.

Mesejnya jelas: Perdana Menteri ini fokus terhadap isu-isu dalam negeri, lebih-lebih lagi dalam sektor ekonomi oleh kerana beliau berniat untuk memelihara penyokong majoriti parti pemerintah yang berbangsa Melayu, terutama sekali golongan yang menetap di kawasan pendalaman. Salah satu agendanya Khamis lalu adalah memberikan ucapan kepada kakitangan sebuah agensi kerajaan yang bertanggungjawab membantu ribuan petani kecil.

Setelah berjaya mengatasi masalah skandal dana politik bernilai jutaan dolar tahun lalu, hanya krisis pembangunan dalam peringkat domestik sahaja yang boleh menggoyahkan kedudukan Najib sebagai pemimpin. Sesuatu yang wajar diberi pujian, meskipun DOJ menyasarkan untuk membeku lebih USD1 bilion (RM4 bilion) yang dikatakan korupsi terbesar negara ini.

Saman yang difailkan di Los Angeles itu bertujuan untuk merampas aset yang didapati terbabit dalam konspirasi mengubah wang antarabangsa yang dilesapkan daripada tabung kekayaan berdaulat itu.

Dalam saman itu, nama anak tiri Najib, Riza Aziz, seorang penerbit filem Hollywood, juga dikaitkan kerana dituduh menggunakan wang sebanyak RM256 juta dalam penerbitan filem ‘The Wolf of Wall Street’ yang diambil daripada dana 1MDB.

Walaubagaimanapun, segalanya dilihat bakal berpihak kepada Najib di masa akan datang.

“Pasaran jelas bahawa Najib masih di tahap selamat ketika ini dan tidak ada cabaran politik yang terlalu besar terhadapnya,” kata pakar ekonomi Vaninder Singh dari Royal Bank of Scotland Plc. berpusat di Singapura kepada Bloomberg.

Vaninder berkata sekiranya Umno memenangi pilihan raya umum akan datang, saki baki kesan 1MDB dijangka terhapus terus.

Isu 1MDB menyebabkan kerajaan dan pembangkang berada pada polar berlawanan yang jelas.

“Pembangkang dan penyokong mereka sudah yakin Najib terlibat dalam pengubahan wang dari 1MDB.

“Di dalam Umno pula, Najib menghalau mereka yang sependapat dengan pembangkang, maka yang tinggal sekarang hanyalah yang setia dan yakin beliau tidak bersalah, atau tidak kisah apa akan terjadi,” kata Gregory Poling, pakar Asia Tenggara di Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa, Washington.

Bagaimanapun, sama ada Najib dapat mengekalkan sokongan rakyat, terutama melalui pemberian wang tunai, mungkin menghadapi masalah, selepas kejatuhan harga minyak yang memberi impak kepada hasil kerajaan.

Bagi Najib, stabiliti ekonomi adalah penting dalam mengharungi pilihan raya umum yang perlu diadakan sebelum 2018.

“1MDB bukan isu utama bagi pengundi luar bandar dan mereka lebih tertumpu kepada ekonomi dan kebajikan, yang boleh ditangani menerusi dasar fiskal,” kata pakar ekonomi Vincent Tsui dari syarikat pengurusan aset AllianceBernstein LP di Hong Kong. - Bloomberg

Tuesday, July 26, 2016

Najib Guna Cara Kotor, Arah LHDN Ganggu Tun M Sekeluarga.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa beliau dan rakan-rakan serta keluarganya sedang ‘diasak’ untuk menghalang dirinya membidas dan menjejaskan imej Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

“Buat masa ini, saya sedang diasak. Banyak perkara sedang dilakukan untuk menjadikan hidup saya, keluarga dan rakan-rakan tidak selesa.

“Semua jenis perkara dilakukan dalam usaha untuk menghalang saya daripada berbuat sesuatu yang boleh menjejaskan imej Najib,” kata Dr Mahathir pada satu sidang akhbar di Jakarta, Indonesia hari ini, seperti yang dilaporkan oleh akhbar The Straits Times, Singapura.


Mahathir berada di Jakarta untuk memberi syarahan bertajuk “Membina Kebebasan Ekonomi dan Kerajaan Bersih” kepada pelajar-pelajar universiti.

Antara tekanan dan asakan ke atas dirinya dan rakan-rakan serta keluarga, dakwanya adalah lawatan oleh pegawai jabatan cukai pendapatan.

Beliau juga berkata bahawa “salah laku kerajaan Najib kini diketahui oleh semua orang di seluruh dunia dan juga rakyat Malaysia”.

Pada 20 Julai lalu, Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat mengambil tindakan saman sivil berhubung dakwaan penyelewengan dana 1MDB.

DOJ mendakwa lebih AS$3.5 bilion diseleweng daripada 1MDB sepanjang beberapa tahun dengan beberapa individu termasuk pegawai tinggi kerajaan yang tidak dinamakan tetapi dirujuk sebagai ‘Malaysian Official 1’ mendapat manfaat.

Ramai orang, termasuk Mahathir, membuat spekulasi bahawa sebagai ‘Malaysian Official 1’ merujuk kepada Najib. - Malaysiakini

Ada 2 Perkara Utama Yang Menanti Najib.

Dalam waktu yang terdekat ini, di sebalik ada yang masih tertanya-tanya dan ada juga yang sudah membuat laporan polis, tugas utama Najib Razak ialah membuat pengesahan secara terbuka, jujur serta ikhlas mengenai siapakah Malaysian Official 1 yang sebenarnya.

Biar pun Tun Mahathir Mohamad, Muhyiddin Yassin, pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan dan sebahagian besar yang lain tanpa ragu-rayu menujukan gelaran itu kepada Najib, tetapi tidak ada sesiapa yang mengesahkannya setakat ini.

Jika Malaysian Official 1 itu adalah dirinya, Najib sebagai Pahlawan Bugis yang selalu membanggakan dirinya sebagai "gentleman", beliau haruslah berani mengakuinya secara terbuka.


Kalau bukan, berterus-teranglah juga dengan segala hujah dan silat kuntau yang ada untuk menafikan bahawa Malaysian Official 1 itu adalah dirinya.

Tetapi sehingga ini Najib masih lagi diam. Rosmah Mansor, Zahid Hamidi dan lain-lain pemimpin UMNO juga diam. Malah "blogger serta facebooker 900" juga diam tidak berkata apa-apa.

Oleh itu, siapa Malaysian Official 1 itu terus dalam kekaburan minda rakyat Malaysia serta menjadikan semua orang terus berteka-teka.

Selain mengesahkan identiti Malaysian Official 1, tugas kedua Najib ialah mengesahkan sekali lagi, juga dengan secara terbuka, jujur dan ikhlas, mengenai wang berbilion-bilion ringgit yang pernah masuk ke dalam akaun bank peribadinya.

Najib sebelum ini mengatakan wang itu sebagai derma daripada Timur Tengah, manakala Peguam Negara menyebut wang tersebut diterima daripada salah seorang anak raja Arab.

Namun, dalam maklumat yang ada di tangan FBI dan Jabatan Kehakiman Kehakiman AS, mereka mengatakan wang yang secara keseluruhannya berjumlah AS$731 juta atau lebih RM3,000 juta yang dimasukkan ke dalam akaun bank peribadi dimAmbank milik Malaysian Official 1 adalah bersumberkan daripada wang 1MDB yang dilencongkan.

Tidak ada sama sekali nama anak raja Arab atau penderma Timur Tengah disebut dalam laporan FBI dan Jabatan Kehakiman itu.

Adakah Najib dan Malaysian Official 1 orang sama atau individu yang berlainan?

Siapakah sebetulnya yang menerima wang berbilion yang dimasukkan ke dalam akaun peribadinya?

Dua persoalan ini sedang memeningkan kepala rakyat Malaysia di mana khabarnya jualan pil panadol juga mendapat permintaan tinggi dan banyak habis di pasaran.

Jika Najib mengesahkan Malaysian Official 1 itu adalah dirinya, beliau harus menjelaskan sekali lagi bagaimana wang berbilion ringgit itu diperolehinya.

Adakah ianya daripada penderma Timur Tengah atau daripada 1MDB?

Najib tidak boleh berdalih atau kelentong lagi kerana kali ini maklumat mengenai wang itu bukan lagi sekadar ada dalam pengetahuan WSJ atau Sarawak Report saja, tetapi sudah ada dalam tangan FBI dan Jabatan Kehakiman AS.

Kiranya Najib menafikan Malaysian Official 1 itu adalah dirinya, beliau juga perlu menjelaskan siapakah orang lain yang menjadi Malaysian Official 1 itu?

Rakyat tentunya berhak tahu identinya sebenar Malaysian Official 1 itu kerana ia disebut dengan jelas telah menerima berbilion-bilion ringgit wang yang dicuri daripada 1MDB. 

Rakyat juga ingin tahu bagaimana orang berkenaan membelanjakan wang sebanyak itu.

Dengan dapat menunjukkan bahawa Malaysian Official 1 itu bukan dirinya, Najib sekurang-kurangnya sudah terlepas daripada bebanan dikaitkan dengan wang 1MDB. 

Beliau boleh terus mengatakan wang yang diterimanya itu adalah daripada penderma Timur Tengah atau anak raja Arab. Lebih menimbulkan keyakinan jika Najib juga dapat berterus-terang memperkenalkan nama penderma tersebut kepada umum.

Inilah dua tugas utama Najib dalam waktu terdekat ini, sekurang-kurangnya sebelum fasa saman sivil Jabatan Kehakiman AS bertukar menjadi saman jenayah.

Sumber: suarakami3

Monday, July 25, 2016

PM Tidak Disiasat Amerika Syarikat - Salleh.

KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak hari ini menegaskan kenyataan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat yang dikeluarkan pada Rabu jelas menyatakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak disiasat oleh pihak berkuasa negara itu.

“Ia (siasatan) tiada kaitan dengan Najib. Apa yang disiasat adalah berkaitan ‘money laundering’ (pengubahan wang haram) ke atas tiga individu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan Persatuan Komunikasi Pasifik dan Asia (Paca) di Universiti Putra Malaysia di sini hari ini.

Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak
Beliau berkata Peguam Negara Amerika Syarikat Loretta Lynch dengan jelas menyatakan bahawa mereka hanya menyiasat tiga individu yang dinamakan dalam kenyataan dikeluarkan oleh Jabatan Kehakiman.

“Ia amat jelas, saya fikir peguam negara Amerika telah menyatakan dengan amat jelas dalam kenyataannya bahawa mereka tidak menyiasat orang lain tetapi tiga individu itu,” katanya.

Salleh turut menyangkal dakwaan mengenai konspirasi antarabangsa terhadap Malaysia susulan laporan tentang tindakan pihak berkuasa Amerika Syarikat berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Apa pula konspirasi? Mereka hanya menjalankan tugas mereka. Apabila ada laporan, mereka mengendalikannya berdasarkan undang-undang dan peraturan negara mereka.

“Tugas kami di sini adalah untuk menjelaskan situasi itu. Bagi kami, di Malaysia kami telah mengendalikan isu 1MDB dengan agak baik. Kami benarkan orang ramai menyatakan pandangan mereka,” katanya.

Salleh berkata pihak berkuasa Amerika menyiasat sama ada berlaku pengubahan wang haram yang berkaitan dengan sistem perbankan mereka berikutan transaksi telah berlaku di negara itu.

“Mereka perlu memastikan pengubahan wang haram tidak berlaku kerana ia melibatkan pelbagai negara lain berkaitan dengan transaksi itu.

“Saya fikir mereka bimbang tentang sistem perbankan di Amerika Syarikat dan mereka melihat dari sudut itu. Biar mereka siasat,” katanya.

Salleh juga berkata tiada apa yang mahu disembunyikan oleh kerajaan Malaysia berkaitan dengan apa yang telah dilakukan dalam 1MDB berikutan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) telah selesai menjalankan siasatan.

“Bagi kami, tiada apa untuk disembunyikan. Bagi perkara berkaitan 1MDB, kami mempunyai laporan PAC, kami telah membincangkan secara mendalam perkara itu dan tindakan akan diambil berdasarkan laporan PAC,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai ‘Malaysia Official 1’ dinyatakan dalam kenyataan Jabatan Kehakiman itu, Salleh berkata ia hanya sekadar dakwaan oleh pengadu.

“Kami telah dengar mengenainya sejak lama dahulu. Ia apa yang dikatakan oleh pengadu. Anda perlu ingat bahawa ia bukan apa yang dikatakan oleh peguam negara.

“Itu pengadu yang kata, tetapi mereka merumuskan yang mereka mahu menyiasat tiga individu sahaja,” kata Salleh. - BERNAMA

Saya Bukan Gila Mahu Jadi Ketua Menteri Sabah!

“Saya bukan gila mahu jadi Ketua Menteri Sabah!” demikian reaksi Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Shafie Apdal ketika berucap di hadapan penyokongnya di Kota Belud, hari ini.

Menurutnya, beliau bekerja untuk rakyat bukan mengejar jawatan.

“Bagi saya, apa yang penting bukan parti ataupun jawatan tapi rakyat. Kita tolong rakyat, bantu rakyat. Apa salahnya?“Datuk Seri Najib Razak (Perdana Menteri) pecat saya dari Kabinet, saya akur. Itu hak dia. Saya tidak dendam, tidak kecil hati.


“Jawatan ini sementara sahaja,” katanya ketika berucap pada majlis sambutan hari raya di Kota Belud, Sabah yang disiarkan secara langsung di Facebooknya, hari ini.

Namun beliau akui dengan adanya jawatan, ia lebih mudah untuk membantu rakyat.

“Bukan senang…macam saya, anak nelayan, orang kampung bertanding untuk Majlis Tertinggi…Naib Presiden Umno. Setengah mati mahu menang. Kerana apa saya bertanding? Kerana kita tidak perlu meminta jika kita ada kuasa itu.

“Kalau kita duduk di atas, tidak perlu minta 20 peratus tapi kita tandatangan 20 peratus. Bukan mudah saya mahu naik. Berjuang sampai jadi besi buruk,” katanya lagi.

Shafie sebelum ini mengumumkan keluar parti selepas digantung dari parti. - SMS NEWS PORTAL

Parti Baru Yang Diterajui Tun M Mampu Pecah-Belahkan Umno Baru.

Parti Umno berpotensi untuk berpecah belah sekiranya bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menubuhkan sebuah parti baru yang mana ahlinya dilaporkan bakal terdiri daripada pemimpin-pemimpin Umno yang menolak pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurut penganalisis politik, Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani, beliau bagaimanapun tidak menafikan kemungkinan parti baru Tun M ini akan berdepan dengan kesukaran untuk diterima oleh rakyat kerana banyak lagi parti-parti lain di negara ini.

“Secara umum di Malaysia ada banyak parti lain dan kalau nak tubuh parti baru kita kena ambil masa yang lama nak diterima rakyat, sama macam Amanah (Parti Amanah Negara). Mereka perlukan masa untuk diterima secara umum.


“Tetapi ia terpulang pada Tun M, cuma kekuatan parti itu nanti akan bergantung sepenuhnya kepada jumlah bilangan ahli Umno dan pemimpin Umno yang sanggup untuk lompat dari parti kepada parti baru.

“Pada saya, kalau ramai orang Umno yang keluar menyertai parti baru Tun M ni, pecah belah lah Umno. Tetapi kalau ikut sejarah, macam Keadilan, sampai sekarang mereka masih lagi gagal pecah belahkan Umno. Mungkin yang sama juga akan berlaku dalam parti Tun M ini,” katanya kepada The Malaysian Times (TMT) hari ini.

Dr Azizuddin berkata demikian merujuk kepada laporan yang mengatakan Tun Mahathir sedang mempertimbangkan untuk menubuhkan sebuah parti baru selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin dan anaknya, Datuk Seri Muhkhriz Mahathir dipecat daripada parti baru-baru ini.

Difahamkan, beliau akan mengadakan mesyuarat dengan pakatan Harapan esok jam 3 petang di Putrajaya bagi membincangkan tentang rancangan untuk menghadapi PRU akan datang.

PERLU SOKONGAN PAKATAN HARAPAN

Selain itu, Dr Azizuddin yang juga merupakan Dekan Pusat Pengajian Antarabangsa, Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM) turut menegaskan bekas Presiden Umno itu memerlukan sokongan daripada Pakatan Harapan untuk menambah kekuatan kepada parti barunya itu.

“Macam mana pun, Tun M tak boleh buka sendiri. Kena bergabung dengan parti lain. Kalau bergabung dengan Pakatan Harapan kemungkinan nak jadi sebuah parti yang kuat itu ada sebab dapat sokongan daripada jentera dan parti lain dalam perikatan itu.

“Kalau nak buka sendiri saya nampak agak sukar untuk dapat tempat antara parti-parti lain di Malaysia,” ujarnya.

APA KEPUTUSAN PAS?

Pada masa yang sama juga, Dr Azizuddin tidak menolak dakwaan pembangkang akan menjadi lebih kuat sekiranya PAS bergabung semula dengan Pakatan Harapan dan Dr Mahathir.

“Secara umumnya, saya tak nampak PAS akan bergabung dengan Tun M tapi itu bergantung pada PAS.

“Saya pun rasa PAS tahu kedudukannya macam mana kalau nak tubuhkan blok ketiganya itu tak mampu nak menjadi alternatif politik.

“Kalau nak mereka kena bergabung jugalah dengan Pakatan Harapan ataupun BN,” jelas penganalisis politik itu.

Katanya lagi, jika PAS tetap percaya blok ketiganya itu mampu mencabar kedudukan BN dalam pihan Raya Umum (PRU) akan datang, mereka mungkin akan kehilangan Kelantan kerana berkemungkinan besar akan berlaku perpecahan undi.

“Dalam konteks pecah undi ni kelebihan ada pada BN. Macam yang jadi dalam PRK baru2-baru ini. kemungkinan dalam PRU akan datang nanti, perkara yang sama juga akan berlaku,” katanya.

Thursday, July 21, 2016

1MDB Menjadi Carian Popular Google.

Istilah 1MDB melonjak kepada 13 peratus daripada jumlah carian di Google semalam, apabila tersebar berita bahawa DOJ memfailkan tuntutan di mahkamah.


Sebaik sahaja sidang akhbar Peguam Negara Amerika Syarikat itu berakhir selepas tengah malam, waktu Malaysia, trend berkenaan terus meningkat sehingga 100 mata pada jam 7.30 pagi.

DOJ semalam memfailkan saman sivil untuk merampas aset di Amerika Syarikat yang ia dakwanya dibeli menggunakan dana 1MDB. Ia merancang untuk mengembalikan hasil daripada penjualan aset-aset yang disita itu kepada Malaysia.
Menurut saman itu, urus niaga terbesar yang dibuat kepada ‘Malaysian Official 1’ adalah deposit AS$681 juta yang dimasukkan ke akaun AmBank miliknya pada Mac 2013.

Jumlah itu didakwa adalah hasil bon AS$3 bilion 1MDB untuk usahasama pelaburan dengan Aabar, petik saman berkenaan.

Hasil bon itu, AS$1.26 bilion disalurkan ke dalam akaun milik Tanore Finance Corporation, yang kemudiannya memasukkan AS$ 681 juta ke akaun rasmi ‘Malaysian Official 1’.

Sumber: Malayasiakini

Saturday, July 9, 2016

Sarawak Dijangka Akan Dapat Kuasa Pusat Akhir Tahun Ini.

Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem menjangka rundingan berhubung penurunan kuasa daripada kerajaan persekutuan kepada kerajaan negeri selesai menjelang akhir tahun.

"Ini melibatkan rundingan yang sangat rumit, Saya tidak menjangka keputusan dicapai lebih awal tetapi saya fikir sesuatu akan diumumkan sebelum akhir tahun ini.

"Bukan semua keputusan tetapi rundingannya sangat rumit melibatkan isu undang-undang, isu politik dan sebagainya. Tetapi saya mengharapkan satu atau dua keputusan dicapai pada akhir tahun ini," kata beliau pada sidang media semasa majlis Rumah Terbuka beliau di Pusat Konvensyen Borneo (BCCK) di Kuching hari ini.

Ketika ditanya apakah kedua-dua keputusan itu, Adenan berkata ia berkaitan penurunan kuasa pentadbiran selanjutnya dan perwakilan kuasa.

Pada Isnin (4 Julai), beliau mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.


Adenan berkata beliau sangat gembira kerajaan persekutuan memberi sambutan positif semasa mesyuarat tersebut.
"Semasa mesyuarat, saya memperincikan keputusan kerajaan Sarawak berhubung isu-isu ini, beliau (Najib) mencadangkan supaya kami menubuhkan jawatankuasa pegawai persekutuan terutama peguam, Peguam Negara dan Peguam Besar Negeri Sarawak.

Berhubung dengan kepentingan Sarawak dalam jawatankuasa ini, kami akan diwakili oleh Peguam Besar Negeri dan penasihat undang-undang negeri Datuk JC Fong," kata beliau.

Adenan berkata jawatankuasa itu akan mengadakan rundingan selepas Hari Raya, dan kemudian melaporkan balik kepada Najib dan beliau mengenai hasil mesyuarat.

- Bernama

Shafie Apdal ~ Kenapa Tak Tanya Saya Depan-depan Sebelum Ambil Tindakan.

Bekas naib presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mempertikaikan tindakan kepimpinan parti itu yang menggantung keanggotaannya tanpa bertanya secara berhadapan ketika mesyuarat Majlis Tertinggi (MT).

Sebaliknya, kata beliau, Umno bertindak ke atasnya tanpa menyiasat terlebih dahulu ketika beliau sedang mengerjakan umrah.

“Siasatlah dulu, apa pasal takut sangat nak siasat saya berdepan, tanya saya apa salah saya dalam bulan yang baik kita beramal dan saya pergi umrah, tidak langsung semasa saya hadir Majlis Tertinggi tak ada tanya saya.

“Bila saya berumrah gantung saya. Tapi tak apalah mungkin ini di antara petunjuk Allah bila saya berumrah dan berdoa di Masjid Nabawi.

“Ya Allah saya umat yang maha lemah dan tak sempurna, tunjukkanlah jalan-jalan yang baik untuk saya membantu agama dan negara itu sahaja,” katanya kepada pemberita di Balai Ketibaan Domestik KLIA hari ini.


Isnin lalu, Shafie mengumumkan keluar Umno selepas beliau digantung keanggotaannya daripada parti pada 24 Jun lalu.

Shafie juga ditanya sama ada tindakannya meninggalkan parti itu akan memberi sebarang kesan.

“Saya dulu di antara pengasasnya (Umno) bukanlah besar sangat sumbangan saya tapi adalah sikit sumbangan saya di peringkat negeri Sabah dalam membesarkan dan membawakan parti Umno.

“Ada yang menyatakan tidak ada kesannya dengan saya keluar dari parti, kita tunggulah ada kesan atau tidak ada kesan kita tunggu Allah,” katanya.

Shafie yang juga bekas menteri kementerian kemajuan luar bandar dan wilayah berkata beliau mempunyai pengikutnya sendiri dan menggesa pemimpin Umno supaya tidak menghinanya.

“Saya tahu saya pun ada penyokong bukan tidak ada penyokong tapi jangan hina saya datang dari Sabah nak memperjuangkan dalam membantu negara kita.

“Saya tahu suara-suara dia di peringkat akar umbi. Lapan tahun saya jadi menteri luar bandar, saya tahu cita rasa masyarakat luar bandar.

"Saya bela mereka dari orang asli yang tak pernah dihantar sejak merdeka, 40 orang asli buat ijazah sarjana di London, Amerika Syarikat, ramai jadi saya sedar apa cita rasa dan yang terpendam dalam hati mereka,” tegasnya.

Shafie ketika ditanya sama ada akan menyertai pembangkang berkata: “Tidak akan menyertai mana-mana parti,” katanya dan terus beredar.

Sumber: malaysiakini.com