Thursday, August 4, 2016

Bendera Persekutuan Tanah Melayu (Malaya), Yang Bertopengkan Bendera Persekutuan Malaysia Perlu Ditukar.

Bendera Malaysia (sepatutnya disebut 'Bendera Persekutuan Malaysia') sekarang yang mempunyai 14 jalur perlu ditukar kepada hanya tiga jalur, yang menunjukkan 'Persekutuan Tiga Negara', iaitu Negara Malaya (Persekutuan Tanah Melayu) + Negara Sabah + Negara Sarawak.

Hanya Bendera Negara Malaya yang mempunyai 11 jalur (menunjukkan sebelas negeri di Tanah Melayu yang bersekutu membentuk Persekutuan Tanah Melayu) yang perlu dikibar pada 31 Ogos, sebagai memperingati tarikh kemerdekaan Negara Malaya daripada British pada 31 Ogos 1957. Pada tarikh ini (31 Ogos), Bendera Persekutuan Malaysia tidak perlu dikibarkan bersama Bendera Persekutuan Tanah Melayu (Malaya).
Sementara Bendera Negara Sarawak perlu dikibarkan pada 22 Julai setiap tahun sebagai memperingati tarikh kemerdekaan Negara Sarawak daripada British pada 22 Julai 1963. Pada tarikh ini (22 Julai), Bendera Persekutuan Malaysia tidak perlu dikibar bersama Bendera Negara Sarawak.

Manakala Bendera Negara Sabah perlu dikibar pada 31 Ogos setiap tahun sebagai memperingati tarikh kemerdekaan Negara Sabah daripada British pada 31 Ogos 1963. Dan pada tarikh ini (31 Ogos), Bendera Persekutuan Malaysia tidak perlu dikibar bersama Bendera Negara Sabah.

Kemudian pada 16 September setiap tahun, Negara Malaya + Negara Sabah + Negara Sarawak hendaklah mengibarkan Bendera Persekutuan Malaysia sebagai memperingati tarikh pembentukan Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963. Dan hanya pada tarikh ini sahaja (16 September), Bendera Negara Malaya, Bendera Negara Sabah dan Bendera Negara Sarawak hendaklah dikibarkan bersebelahan dengan Bendera Persekutuan Malaysia. Dengan kata lain, 'Bendera Persekutuan Malaysia' hanya dikibar bersama 'Bendera Negara' masing-masing pada 16 September setiap tahun.

Sejarah Penipuan dan Penjajahan Malaya Ke Atas Sabah dan Sarawak

Mengapa Bendera Malaysia (yang sepatutnya disebut 'Bendera Persekutuan Malaysia') sekarang ada 14 jalur? Sebabnya ialah, sebelas (11) jalur yang pertama adalah merujuk kepada 11 negeri di Tanah Melayu yang telah bersekutu membentuk Persekutuan Tanah Melayu (Malaya) pada tahun 1948, yang kemudiannya persekutuan ini telah mencapai kemerdekaan daripada British pada 31 Ogos 1957, dan selepas itu berstatus ‘Negara Malaya’.


Selepas Persekutuan Tanah Melayu (Malaya) mencapai kemerdekaan daripada British pada 31 Ogos 1957, Kerajaan Negara Malaya telah mereka cipta Bendera Negara Malaya yang mempunyai 11 jalur. Sebelas (11) jalur pada Bendera Negara Malaya ini merujuk kepada 11 negeri di Tanah Melayu yang telah bersekutu membentuk Persekutuan Tanah Melayu (Malaya).

Perlu diingat fakta sejarah, selepas pembentukan Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963, Negara Malaya masih menggunakan Bendera Negara Malaya yang mempunyai 11 jalur itu. Dan selepas 16 September 1963, Persekutuan Malaysia yang pada mulanya terdiri daripada ‘Persekutuan 4 Negara’ (Negara Malaya + Negara Singapura + Negara Sabah + Negara Sarawak), sepatutnya mempunyai satu bendera yang melambangkan 'Persekutuan Empat Negara'.

Dan walaupun selepas Kepemimpinan Kerajaan Pusat Malaya (yang bertopengkan Kerajaan Pusat Malaysia) menyingkirkan Singapura daripada Persekutuan Malaysia pada tahun 1965 tanpa pengetahuan/ tanpa merujuk kepada Sabah dan Sarawak, sepatutnya terdapat satu bendera baharu yang direka cipta bagi melambangkan 'Persekutuan Tiga Negara', iaitu Negara Malaya + Negara Sabah + Negara Sarawak yang mempunyai tiga jalur sahaja. Tegasnya, 'Bendera 'Persekutuan Malaysia' sekarang yang terdiri daripada ‘Persekutuan Tiga Negara’, iaitu Negara Malaya + Negara Sabah + Negara Sarawak, sepatutnya hanya tiga (3) jalur sahaja, dan bukan 14 jalur!


Tetapi hal itu tidak berlaku apabila Kepemimpinan Kerajaan Pusat Malaya yang bertopengkan ‘Kepemimpinan Kerajaan Pusat Malaysia’, dengan disokong dan dibantu oleh Kepemimpinan Kerajaan Negara Sabah yang menjadi boneka, proksi dan ejen penjajahan, telah memanipulasi ‘Perlembagaan/ Undang-undang Kerajaan Pusat (Kerajaan Persekutuan) dan ‘Perlembagaan/ Undang-undang Kerajaan Negara Sabah, telah meminda atau memansuhkan imuniti-imuniti hak-hak dan kuasa-kuasa ‘Negara Sabah’, yang kemudiannya telah menurunkan taraf ‘Negara Sabah’ dan ‘Negara Sarawak’ kepada ‘Negeri Sabah’ dan ‘Negeri Sarawak’ pada tahun 1976. Penurunan taraf ‘Negara Sabah’ dan ‘Negara Sarawak’ ini kemudiannya diikuti dengan penurunan taraf ‘Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negara Sabah’ dan ‘Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negara Sarawak, serta lain-lain hak dan kuasa kemerdekaan Negara Sabah dan Negara Sarawak.

Selepas penurunan taraf ‘Negara Sabah’ dan Negara Sarawak’ ini, ‘Negara Sabah’ telah diletakkan kod sebagai ‘Negeri Ke-12’, dan ‘Negara Sarawak’ telah diletakkan kod sebagai ‘Negeri Ke-13’ dalam ‘Persekutuan Tanah Melayu (Malaya)! Seolah-olah Sabah dan Sarawak adalah ‘Negeri’ di dalam ‘Persekutuan Tanah Melayu (Malaya)’! Kod ‘Negara Sabah’ pada mulanya bermula dengan huruf ‘H’, iaitu huruf terakhir dalam perkataan ‘SABAH’. Sebab itu pada awal pembentukan ‘Persekutuan Malaysia’, Warganegara Sabah mempunyai Kad Pengenalan bermula dengan huruf ‘H’, bukannya ‘12’. Manakala kod ‘Negara Sarawak’ bermula dengan huruf ‘K’, iaitu huruf terakhir dalam perkataan ‘SARAWAK’. Maka itu pada awal pembentukan ‘Persekutuan Malaysia’, Warganegara Sarawak mempunyai Kad Pengenalan bermula dengan huruf ‘K’, bukannya ‘13’!

Oleh sebab itu, selepas tahun 1976, Bendera Persekutuan Tanah Melayu (Malaya) yang bertopengkan ‘Bendera Persekutuan Malaysia’ mempunyai 14 jalur! Jalur ke-12 dalam ‘Bendera Persekutuan tanah Melayu (Malaya) sekarang merujuk kepada 'Negeri Sabah' yang telah diletakkan sebagai 'Negeri Ke-12 di Malaya'; sementara jalur ke-13 merujuk kepada 'Negeri Sarawak' yang diletakkan sebagai 'Negeri Ke-13 di Malaya'; dan manakala jalur ke-14 merujuk kepada Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Sungguh licik, jijik dan hina agenda penipuan dan penjajahan Kepemimpinan Kerajaan Pusat Malaya terhadap Sabah dan Sarawak!

“Penjajahan paling kejam dalam sejarah penjajahan adalah dengan mengubah fakta sejarah kenegaraan dan menghilangkan identiti asal sesebuah negara dan bangsa”. - DJI, Aktivis dan Nasionalis Sabah