Monday, July 25, 2016

Parti Baru Yang Diterajui Tun M Mampu Pecah-Belahkan Umno Baru.

Parti Umno berpotensi untuk berpecah belah sekiranya bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menubuhkan sebuah parti baru yang mana ahlinya dilaporkan bakal terdiri daripada pemimpin-pemimpin Umno yang menolak pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurut penganalisis politik, Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani, beliau bagaimanapun tidak menafikan kemungkinan parti baru Tun M ini akan berdepan dengan kesukaran untuk diterima oleh rakyat kerana banyak lagi parti-parti lain di negara ini.

“Secara umum di Malaysia ada banyak parti lain dan kalau nak tubuh parti baru kita kena ambil masa yang lama nak diterima rakyat, sama macam Amanah (Parti Amanah Negara). Mereka perlukan masa untuk diterima secara umum.


“Tetapi ia terpulang pada Tun M, cuma kekuatan parti itu nanti akan bergantung sepenuhnya kepada jumlah bilangan ahli Umno dan pemimpin Umno yang sanggup untuk lompat dari parti kepada parti baru.

“Pada saya, kalau ramai orang Umno yang keluar menyertai parti baru Tun M ni, pecah belah lah Umno. Tetapi kalau ikut sejarah, macam Keadilan, sampai sekarang mereka masih lagi gagal pecah belahkan Umno. Mungkin yang sama juga akan berlaku dalam parti Tun M ini,” katanya kepada The Malaysian Times (TMT) hari ini.

Dr Azizuddin berkata demikian merujuk kepada laporan yang mengatakan Tun Mahathir sedang mempertimbangkan untuk menubuhkan sebuah parti baru selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin dan anaknya, Datuk Seri Muhkhriz Mahathir dipecat daripada parti baru-baru ini.

Difahamkan, beliau akan mengadakan mesyuarat dengan pakatan Harapan esok jam 3 petang di Putrajaya bagi membincangkan tentang rancangan untuk menghadapi PRU akan datang.

PERLU SOKONGAN PAKATAN HARAPAN

Selain itu, Dr Azizuddin yang juga merupakan Dekan Pusat Pengajian Antarabangsa, Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM) turut menegaskan bekas Presiden Umno itu memerlukan sokongan daripada Pakatan Harapan untuk menambah kekuatan kepada parti barunya itu.

“Macam mana pun, Tun M tak boleh buka sendiri. Kena bergabung dengan parti lain. Kalau bergabung dengan Pakatan Harapan kemungkinan nak jadi sebuah parti yang kuat itu ada sebab dapat sokongan daripada jentera dan parti lain dalam perikatan itu.

“Kalau nak buka sendiri saya nampak agak sukar untuk dapat tempat antara parti-parti lain di Malaysia,” ujarnya.

APA KEPUTUSAN PAS?

Pada masa yang sama juga, Dr Azizuddin tidak menolak dakwaan pembangkang akan menjadi lebih kuat sekiranya PAS bergabung semula dengan Pakatan Harapan dan Dr Mahathir.

“Secara umumnya, saya tak nampak PAS akan bergabung dengan Tun M tapi itu bergantung pada PAS.

“Saya pun rasa PAS tahu kedudukannya macam mana kalau nak tubuhkan blok ketiganya itu tak mampu nak menjadi alternatif politik.

“Kalau nak mereka kena bergabung jugalah dengan Pakatan Harapan ataupun BN,” jelas penganalisis politik itu.

Katanya lagi, jika PAS tetap percaya blok ketiganya itu mampu mencabar kedudukan BN dalam pihan Raya Umum (PRU) akan datang, mereka mungkin akan kehilangan Kelantan kerana berkemungkinan besar akan berlaku perpecahan undi.

“Dalam konteks pecah undi ni kelebihan ada pada BN. Macam yang jadi dalam PRK baru2-baru ini. kemungkinan dalam PRU akan datang nanti, perkara yang sama juga akan berlaku,” katanya.