Monday, January 30, 2017

Penemuan Tengkorak Panjang, Ungkap Rahsia Kelam Di Masa Lampau?

Salah satu tengkorak panjang kuno paling menarik baru saja dijumpai. Menurut Brien Foerster yang menyertai pasukan arkeologi, kepala mumia dan sebahagian leher dari budaya Peru ini adalah salah satu tengkorak memanjang yang paling menakjubkan yang pernah dijumpai ketika ini.


Mengapa demikian? Ini kerana tengkorak misteri itu mempunyai warna rambut perang yang bukan merupakan warna rambut tipikal penduduk asli Amerika. Diyakini, tengkorak memanjang itu berusia 2,800 tahun yang lalu dan kemungkinan besar milik bayi yang baru lahir.

Apa yang membuat tengkorak panjang ini begitu unik?

Tengkorak panjang ini adalah tengkorak yang memanjang secara genetik. Dengan kata lain, bukan hasil daripada kepala yang diikat. Kerana proses ubahsuai bentuk tengkorak buatan memakan masa sekurang-kurangnya 6 bulan untuk menghasilkan kesan yang diingini.
Setakat ini, ahli arkeologi di Peru telah menemui beratus-ratus tengkorak panjang dengan ciri-ciri yang aneh. Penemuan baru ini menandakan kemungkinan bahawa beribu-ribu tahun yang lalu, suku kuno yang tinggal di Peru memang mempunyai tengkorak yang memanjang secara semulajadi.


Seterusnya, Brien Foerster menunjukkan rambut sangat halus daripada bayi yang berwarna perang dan bukannya warna hitam seperti pada orang asli Amerika. Menurut para ahli, anomali ini merupakan salah satu bukti yang menunjukkan perbezaan genetik yang jelas dari apa yang biasanya diharapkan.

Tengkorak panjang memang telah menjadi subjek perdebatan di antara para ahli arkeologi selama bertahun-tahun. Pada tahun 1928, penyelidik mendapati 300 tengkorak panjang di pantai selatan Peru. Penemuan itu diketuai oleh ahli arkeologi Peru, Julio Tello dan diyakini tengkorak-tengkorak memanjang itu berusia kira-kira 3,000 tahun yang lalu.

Menurut penyelidik, keluasan tengkorak panjang atau Paracas Skulls adalah 25% lebih besar dan 60% lebih berat daripada tengkorak manusia biasa. Menariknya, seolah-olah tengkorak panjang telah menjadi fenomena global. Terdapat banyak bukti tengkorak memanjang di seluruh penjuru dunia hasil mengikat kepala.

| SBP