Sunday, October 9, 2016

Bajet 2017: Harapan Rakyat Negara-negara Borneo.

Apabila Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Razak membentangkan Bajet 2017 di Dewan Rakyat 21 Oktober nanti, jangan lupa masih ada penduduk di negara Sabah dan Sarawak yang mendengar ucapan beliau melalui radio yang menggunakan kuasa bateri dan minum air dari sungai atau telaga.


Pada waktu yang sama, sebahagian lagi rakyat di Tanah Malaya mengikutinya melalui televisyen, radio dalam kereta mewah atau rumah mewah, dan portal berita melalui jalur lebar dari telefon bimbit canggih. Meskipun sudah mencapai kemerdekaan selama 53 tahun, Sarawak dan Sabah masih lagi terkebelakang dari segi kemudahan prasarana dan kemudahan asas yang lain.

Di kedua-dua negara borneo ini masih ramai yang hidup dalam keadaan tidak selesa kerana tiadanya kemudahan asas seperti di negeri-negeri di Tanah Malaya lain, terutamanya di luar bandar, sedangkan mereka ialah penyokong kuat kerajaan. 

Malah, pembangunan boleh disifatkan sebagai industri yang gagal, terutama di luar bandar sebagai akibat daripada dasar yang memihak kepada bandar dan kota, ketirisan dalam prses pelaksanaan, serta pengagihan sumber dan projek pembangunan yang tidak seimbang.

Elit politik tidak seharusnya hanya memberi tumpuan kepada kawasan tertentu atas kepentingan politik semata-mata; sebaliknya rakyat Sarawak dan Sabah tanpa mengira kaum dan kawasan berhak merasai nikmat daripada dasar pembangunan kerajaan.

Setiap kali mengikuti ucapan bajet, seperti pemimpin politik dan Ahli Parlimen dari kedua-dua negara borneo ini, penduduk di luar bandar terbabit juga mengharapkan agar peruntukan yang lebih besar disalurkan untuk pembangunan asas dan ekonomi penduduk luar bandar. 

Bagi negara-negara borneo yang membantu merealisasikan pembentukan gagasan Persekutuan Malaysia pada 1963 itu, permintaan tersebut tidaklah keterlaluan, kerana mereka turut ingin menikmati hasil daripada sokongan, perjuangan dan pengorbanan mereka selama ini.

Adakah sesuatu yang keterlaluan jika rakyat dan pengundi yang telah berdiri teguh di belakang kerajaan diberi ganjaran dan imbalan yang sewajarnya? Jika tidak, sampai bilakah kerajaan boleh memujuk supaya mereka bersabar atas alasan bahawa ia tidak dapat melaksanakan pembangunan sekali gus kerana peruntukan dan dananya terbatas? 

Apatah lagi, isu pembangunan sentiasa hangat dijaja dan dieksploitasikan oleh pihak pembangkang dalam kempen menjelang pilihan raya. Isu pembangunan dijangka akan terus dimanipulasikan dalam pilihan raya umum yang akan datang.

Bagi pihak kerajaan, ia menegaskan telah berjaya membawa pembangunan kepada rakyat dan kawasan luar bandar, tetapi bagi pembangkang, pembangunan adalah tidak bersekadar dengan peruntukan yang telah disalurkan selama kemerdekaan dan sumbangan negeri ini kepada Kerajaan Persekutuan, terutama dari segi pendapatan daripada petroleum. 
Perdana Menteri yang telah banyak kali berkunjung ke Sarawak sekurang-kurangnya 50 kali, termasuk ke kawasan pedalaman, faham akan denyut nadi, masalah dan aspirasi penduduk di kedua-dua negara borneo ini.

Bajet 2017 bukan sahaja perlu membuktikan pengagihan yang adil kepada kedua-dua negara borneo itu tetapi memperlihatkan komitmen jitu untuk melihat bahawa penduduk Sabah dan Sarawak dapat berdiri sama tinggi dengan mereka di Tanah Malaya. Peruntukan yang bakal diumumkan itu akan dapat meneruskan projek pembangunan prasarana yang masih belum dinikmati oleh semua penduduk, terutama di kawasan pedalaman dan luar bandar meskipun kita menyedari kekangan dihadapi kerajaan disebabkan pendapatan daripada hasil minyak sudah jauh menurun.

Dengan terlaksananya projek kemudahan asas dan prasarana dengan lebih berkesan tanpa ketirisan, diharapkan mereka tidak lagi mendengar ucapan dari radio yang menggunakan kuasa bateri ketika mendengar Bajet 2020 apabila negara kita sepatutnya sudah mencapai status negara maju. Sebaliknya, diharapkan mereka akan menonton Perdana Menteri menyampaikan ucapan dari Dewan Rakyat melalui kaca televisyen, sambil menghirup teh daripada air bersih yang disalurkan terus ke rumah atau rumah panjang mereka.

Sumber: Sarawakvoice | SBP