Wednesday, July 27, 2016

Senarai Pengundi Jadi 'Rokok'.

Rayong (Thailand): Seorang lelaki ditangkap polis selepas dia mengoyak dan menggulung sekeping senarai pengundi sebelum menghisap kertas itu seperti rokok.

Tindakan lelaki itu dirakam kamera keselamatan di sebuah dewan bandar Map Ta Phut malam Jumaat lalu dan dia ditangkap pagi kelmarin.

Jurucakap polis, Khonsan Chaicharoensilp berkata, suspek yang dikenali sebagai Nattawut Boonma, 25, mengaku bersalah dan memberitahu dia mabuk ketika melakukan perbuatan itu.

Nattawut menunjukkan bagaimana dia mengoyak kertas untuk dijadikan rokok.
Nattawut memberitahu polis, dia dan seorang rakannya minum arak pada petang Jumaat lalu dan pergi ke sebuah tali air di hadapan dewan itu untuk memancing ikan.

Apabila tiba di sana dia berasa mahu menghisap rokok, tetapi tidak mempunyai rokok.

Dia kemudian pergi ke dewan itu dan mengoyak sehelai kertas yang ditampal di papan kenyataan tanpa menyedari ia senarai daftar pengundi.

Katanya, dia tidak menyedari melanggar undang-undang sehinggalah beberapa anggota polis datang ke rumahnya untuk menahannya. - Agensi