Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem hari ini sekali lagi menggesa kepimpinan pusat merapatkan jurang pembangunan di antara negeri ini dan Sabah dengan Semenanjung.
Dengan nada serius, beliau berkata, selepas 50 tahun, jurang itu masih lagi ketara terutama dari aspek prasarana dan pelbagai kemudahan asas lain.
“Di Semenanjung, mereka sudah lama merancang mahu membina landasan kereta api berkelajuan tinggi yang menghubungkan Singapura dan Bangkok melalui Kuala Lumpur.
“Perdana Menteri (Datuk Seri Mohd Najib Razak) sendiri sudah beberapa kali memperkata projek ini sedangkan kita masih lagi belum memiliki kemudahan jalan raya yang boleh diiktiraf sebagai ‘lebuh raya’ di Sabah dan Sarawak,” tegasnya ketika berucap sempena Istiadat Perbarisan dan Rapat Raksasa Sambutan Hari Jadi Ke-80 Yang Di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud di Stadium Miri, pagi tadi.
Rapat raksasa itu dihadiri lebih 5,000 peserta, yang terdiri daripada pelbagai agensi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Sarawak.
Turut hadir dua anggota kabinet pusat termasuk Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Nancy Shukri.
Sehubungan itu, katanya, beliau meminta Kerajaan Persekutuan bertindak segera menangani isu ini, bagi memastikan pembangunan-pembangunan yang adil dan setara turut dinikmati oleh kedua-dua negeri ini.
“Sabah dan Sarawak mahu jurang ini dirapatkan. Pembangunan tidak seimbang hanya akan membawa banyak kerugian kepada rakyat,” tegasnya.
Meskipun terpinggir oleh kerajaan pusat, katanya, Sarawak kekal sebagai bumi subur, yang memiliki pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan, selain menjadi pilihan utama para pelabur luar.
“Sepanjang 2016, Sarawak berjaya menarik pelaburan langsung asing (FDI) mencecah RM13.6 bilion, sekali gus menjadi antara negeri yang penerima pelaburan tertinggi di Malaysia selepas Johor dan Selangor.
“Ini memperlihat kedudukan ekonomi Sarawak kekal berada pada landasan yang kukuh.
“Malah kita memberi fokus untuk menarik lebih ramai pelabur asing, terutama dari China untuk menanam modal di negeri ini, khususnya di Samalaju, Tanjung Manis, Mukah dan Kuching,” tambahnya.
Dalam ucapannya juga, Adenan berkata Kerajaan Negeri pimpinannya akan bertegas agar Kerajaan Pusat memberikan autonomi pendidikan kepada negeri ini, bagi membolehkan tumpuan yang diberikan kepada pemerkasaan pendidikan dan pembelajaran Bahasa Inggeris.
“Ada kemungkinan sebanyak 15,000 ke 20,000 siswazah di negeri ini bakal menjadi penganggur kerana gagal mendapat pekerjaan selepas tamat pengajian, akibat penguasaan Bahasa Inggeris yang lemah.
“Situasi ini amat merugikan,” katanya lagi yang turut mendesak Kerajaan Persekutuan meningkatkan peruntukan untuk penyediaan prasarana lebih baik kepada sekolah-sekolah di Sarawak.
Katanya, masih banyak sekolah di negeri ini yang daif dan kurang selamat, yang memerlukan perhatian khusus daripada Kerajaan Persekutuan.
Antara sekolah yang memerlukan perhatian termasuklah SK Buda di Spaoh, Saribas, yang separuh daripada premisnya terhumban ke dalam sungai akibat kejadian arus deras.