NATASHA mendecit. Dia terbangun. Matanya digosok berkali-kali sebelum matanya memandang permukaan dinding putih. Jam dinding berwarna merah dipandang dengan pandangan geram.
Tidurnya terganggu dek tangisan dan jeritan seorang perempuan. “Baru tiga hari aku pindah masuk sini. Kalau nak nangis pergilah cari tempat lain,” bebelnya geram.
“Siapalah yang tengah nangis malam-malam buta ini?” Rungut Natasha lagi. Dia turun dari katil. Katil sebelah dipandang. Peliknya, Ainur masih nyenyak tidur.
‘Tidur mati agaknya,’ Natasha bermonolog di dalam hati. Dengan langkah perlahan Natasha menghampiri jendela. Dia mengintai luar. Tiada sesiapa. Sunyi dan kosong.
“Tak masuk akal,” bicaranya sendiri. Namun, dia jelas dapat mendengar tangisan dan jeritan seorang perempuan. Dengan langkah perlahan Natasha membuka pintu biliknya. Dia keluar dan membuka pintu utama. “Argh!” Natasha terjerit kuat. Matanya terbeliak melihat seorang gadis duduk bercangkung di hadapan rumah sewanya.
“Awak siapa? Kenapa awak duduk kat sini?” Tanya Natasha berkali-kali. Gadis itu diam tidak berkutik. Dia kelihatan ketakutan. “Nama awak siapa?” Tanya Natasha lembut seraya menyentuh bahu gadis itu.
“Lara,” jawab gadis muda itu tanpa sebarang perasaan. Wajah Natasha tidak dipandang langsung. “Okey, tapi apa awak buat kat sini malam-malam buta? Kenapa awak menangis?”
Lara tajam menikam anak mata Natasha. “Awak sudi tak jadi kawan saya?” Natasha terkejut lalu dia mengangguk perlahan. pelik dengan soalan Lara.
“Kenapa awak tanya macam itu?” “Sebelum ini tiada siapa nak jadi kawan saya. Awak sudi kan?” Lara minta kepastian. Baru kini bibir Natasha mengukir senyuman nipis.
“Awak jangan risau okey. Saya sudi jadi kawan awak. Rumah awak yang mana satu? Awak pelajar fakulti mana?” “Saya jiran awak. Bidang kulinari,” jawab Lara berpaling ke arah lain.
Muka Natasha kelihatan berseri-seri. Dia menelan air liurnya berkali-kali. “Mesti awak pandai masak kan?” “Awak nak cuba ke?” Senyuman Lara kelihatan semacam. Natasha mengangguk laju.
Natasha pulang ke rumah sewanya dengan membawa satu bungkusan makanan. Haruman begitu menyelerakan. Dia tidak sabar mencuba makanan yang dimasak Lara khas untuknya.
“Tasha, kau dah makan ke?” Tanya Ruby, kawan serumah Natasha. Natasha menunjukkan bungkusan makanan pada tangannya.
Ainur mendekati Natasha. “Tak cakap pun kau dah beli nasi?” Terbit nada rajuk pada suara Ainur.
“Bukanlah. Yang ini Lara yang masakkan untuk aku,” jawab Natasha sambil mencium bau mee hailam.
“LARA?!” Hampir serentak Ainur dan Ruby menjerit. “Budak kulinari ke?” Tanya Ainur sekadar kepastian.
“Aah. Korang kenal ke? Dia jiran kita tau. Baru semalam aku kenal dengan dia. Masakan dia gempak wei. Sedap sangat,” puji Natasha. Dia menapak ke dapur untuk ambil garpu. Ainur dan Ruby berpandangan.
“Biar betul kau jumpa dia?” Tanya Ruby nada terkilan. Tiba-tiba dia berasa badannya seram sejuk. Bulu romanya meremang.
Ainur sudah masuk ke dalam bilik. “Iyalah, takkan aku nak tipu kot. Kesian dia. Aku tengok dia baik sangat tapi kenapa tak ada siapa nak kawan dengan dia hah?” Pelik Natasha.
Ruby menjongketkan bahu lalu dia masuk ke dalam bilik sambil memeluk tubuhnya erat.
“Lara buat apa kat sini?” Lara menoleh. Bibirnya mengukir sebaris senyuman nipis. Bibirnya tampak pucat.
“Nah, saya masak nasi goreng pulak untuk awak. Jangan tak makan ye,” pesan Lara sebelum bungkusan makanan bertukar tangan. Natasha tersenyum gembira.
“Bolehlah saya kongsi dengan kawan-kawan saya nanti. Mereka pun…” kata-kata Natasha segera dipintas.
“TAK BOLEH! Saya masak untuk awak seorang saja. Jangan kongsi dengan sesiapa,” marah Lara lalu dia tinggalkan Natasha begitu saja di hadapan rumahnya. Natasha pelik melihat sikap Lara.
Ainur dan Ruby pelik melihat sikap Natasha yang berlainan sejak kebelakangan ini. Dengan perasaan takut, mereka menghampiri Natasha yang bernyanyi riang di ruang tamu.
“Tasha,” panggil Ainur bernada biasa. “Yup.” “Betul ke kau jumpa Lara?” Ainur tidak percaya. “Korang kenal ke dengan dia?” Sekali lagi Ainur dan Ruby berpandangan.
“Dia yang masak untuk akulah selama ini. Takkan aku cakap dengan hantu kot. Dah seminggu dia masak untuk aku. Jimat duit aku tau. Masakan dia sedap sangat. Tapi tak tahu kenapa dia tak bagi aku kongsi dengan korang. Mesti korang pernah usik dia kan?”
Ainur dan Ruby diam. “Jadi, kaulah yang makan semalam dan tinggalkan bekas makanan atas meja tu?” Natasha menepuk dahinya.
“Sorry beb. Memang aku yang makan. 12 tengah malam Lara yang hantar makanan. Lepas dah kenyang aku terus tidur. Lupa nak buang. Kau dah kemaskan ek?”Ruby dan Ainur menggeleng berkali-kali.
Sudah tiga hari Natasha tidak berjumpa dengan Lara. Dan tiba-tiba hari ini Lara muncul dengan sebungkus makanan lagi.
“Mana Lara pergi? Dah tiga hari tak jumpa? Rindu dengan masakan Lara tau.” Lara tersenyum nipis. “Makan tau. Jangan tak makan,” pesan Lara seperti biasa.
Natasha membawa bungkusan makanan itu dengan perasaan riang. Ainur dan Ruby tergamam.
“Lara yang masak. Sorrylah aku tak boleh kongsi. Nanti dia marah,” ujar Natasha seraya menghenyakkan punggungnya di atas kerusi meja makan. Dengan geram Ainur menepis bungkusan makanan yang dibawa Natasha. Natasha terkejut dengan reaksi spontan Ainur. “Kau ni dah kenapa Ainur?” Tengking Natasha geram.
“Sedar Tasha ini bukan realiti. Lara tak wujud! FAHAM TAK? Lara tak wujud. Ini bukan makanan. Yang kau makan selama ini ialah cacing dan darah mentah. Sedar Tasha,” jerit Ainur seraya menggoncang tubuh Natasha kuat.
Ruby mengangguk laju. Natasha terkaku. Lidahnya jadi kelu. Dia menggeleng berkali-kali kemudian.
“Lara tak wujud? Habis yang aku jumpa dia selama ini apa pulak? Hantu? Dia jiran kitalah,” marah Natasha.
“Tak! Tak! Tasha kita tak berjiran dengan sesiapa di sini. Rumah tu dah lama kosong. Memang Lara pernah wujud. Tapi dia dah lama mati. Dia bunuh diri tiga tahun lepas. Kita tak berjiran dengan sesiapa. Lara dah lama mati Tasha. Dah lama mati,” tegas Ruby seraya pegang lengan Natasha keras. Natasha ternganga.
Bungkusan makanan yang ditepis Ainur dipandang dengan perasaan takut. Cacing? Ya cacing.
“Argh, apa yang aku makan selama ini? Apa ni?” Jerit Natasha seram sejuk. Bulu romanya tegak berdiri.
Rumah sebelah dipandang. Memang kelihatan tidak berpenghuni. Nampak kotor dan bersawang.
Kenapa dia tak perasan selama ini? Semasa dia pindah masuk dia pernah nampak seorang wanita berpakaian putih. Mungkinkah Lara? Ainur dan Ruby ketakutan. Tubuh Natasha menggeletar.
Sejak peristiwa itu Natasha, Ruby dan Ainur berpindah ke rumah lain yang berdekatan dengan kampus mereka. Namun, Natasha masih lagi trauma dan keliru mengapa Lara mencarinya. Misteri itu masih lagi menjadi tanda persoalan.
Oleh Nia Reiya