Wednesday, February 15, 2017

Cegah 'Retinopati Diabetes' Dengan Mengurangkan Gula Dalam Menu Harian Anda.

PENYAKIT kencing manis (Diabetic Mellitus) merupakan masalah yang agak lazim di kalangan masyarakat tempatan. Organ yang selalu terjejas oleh penyakit ini adalah mata dan buah pinggang. Penyakit mata diabetes merujuk kepada spectrum penyakit mata yang disebabkan oleh penyakit kencing manis.

Retinopati Diabetes merupakan masalah mata yang paling lazim dihadapi di kalangan pesakit kencing manis dan penyumbang utama kepada faktor kebutaan.

Mata manusia boleh dibahagikan kepada dua bahagian iaitu kamar depan dan kamar belakang. Retina merupakan struktur yang berada di bahagian belakang kamar belakang mata.

Bagi kefahaman umum, ada kebaikan jika kita merujuk kepada sistem kamera lama di mana kita perlu memasukkan filem negatif ke dalam kamera sebelum gambar boleh ditangkap dan retina adalah umpama filem di dalam kamera tersebut.

Retinopati Diabetes merupakan masalah mata yang paling lazim dihadapi di kalangan pesakit kencing manis. Ia merupakan penyumbang utama kes pendaftaran kebutaan baru di Amerika Syarikat khususnya di kalangan orang dewasa berusia antara 20 hingga 74 tahun.

Pada dasarnya, ia adalah kesan langsung hyperglisme iaitu kandungan gula dalam darah yang melambung tinggi dan tidak terkawal untuk jangka masa yang panjang. Ia juga sedikit sebanyak dipengaruhi oleh faktor-faktor lain seperti genetik.

Sebanyak 90 peratus daripada penghidap penyakit kencing manis yang sudah menjangkau usia 15 tahun lamanya akan mendapat penyakit retinopati diabetes.

Kawalan paras gula serta tekanan darah dan paras kolesterol yang optimum dapat membantu melambatkan kejadian retinopati diabetes yang serius.

Kesan diabetes jangka panjang

Kehadiran penyakit kencing manis setelah sekian lama akan mengakibatkan kerosakan pada saluran darah halus di dalam retina.

Saluran darah halus dalam retina mungkin juga menjadi bocor dan hasil daripada perubahan itu akan membuatkan retina bengkak.

Di samping itu, saluran darah halus juga berkemungkinan untuk tersumbat dan menyebabkan retina menjadi kekurangan oksigen.

Kekurangan oksigen dalam retina turut merangsang pembentukan saluran darah halus. Saluran darah baru yang tidak normal sememangnya rapuh dan mudah pecah yang akan menyebabkan pendarahan dalam retina.

Hasil daripada perubahan tersebut, pesakit akan mendapat gangguan daya penglihatan yang serius.

Retinopati diabetes dapat dikategorikan sebagai retinopati diabetes bukan proliferatif dan retino patiproliferatif.

Retinopati diabetes bukan proliferatif merupakan retinopati diabetes pada peringkat awal yang kurang serius.

Ciri-ciri retinopati diabetes bukan proliferatif adalah termasuk dengan kewujudan microaneurysme iaitu bengkak kecil berbentuk belon di dalam saluran darah dan tahap pendarahan yang pelbagai di dalam retina.
Pada peringkat permulaan, ia tidak akan menyebabkan masalah penglihatan kabur yang teruk. Selari dengan perkembangan penyakit tersebut mengikut peredaran masa, lebih banyak saluran darah di dalam retina akan tersumbat dan ia akan merangsang ketumbuhan saluran darah rapuh yang tidak normal di mana ia merupakan ciri-ciri retinopati diabetes proliferatif.

Perkara yang kerap merumitkan keadaan adalah pesakit dengan retinopati diabetes tidak sedar akan betapa seriusnya penyakit mata ini kerana mereka tidak mengalami sebarang tanda-tanda penurunan daya penglihatan.

Dalam retinopati diabetes proliferatif, saluran darah yang baru terbentuk di atas permukaan retina sangatlah rapuh dan mudah pecah yang akan mengakibatkan pendarahan di dalam ruang mata dan seterusnya menghalang penglihatan pesakit sekaligus membuatkan mereka memerlukan rawatan segera.

Jika ia terus dibiarkan tanpa rawatan, ini akan disusuli dengan pendarahan yang lebih serius dan pembentukan parut yang akan mengakibatkan penyakit saraf mata terlepas di mana ia adalah merupakan masalah yang amat serius dan akan mengakibatkan kebutaan kekal.

Kesan pada penglihatan dan rawatan

Makula merupakan sasaran optik di dalam mata adalah sebuah kawasan kecil di tengah-tengah retina yang memberikan penglihatan tajam dengan kejituan maksima untuk manusia.

Sekiranya tiada kesan pendarahan atau bengkak di makula, daya penglihatan akan tetap berada dalam keadaan tajam dan normal.

Pesakit mungkin tidak dapat mengetahui tahap retinopati diabetes dengan pemeriksaan kendiri kecuali diperiksa oleh doktor mata.

Maculopati Diabetik terjadi apabila terdapat kebocoran dan justeru takungan bendalir di makula penyakit kencing manis.

Penglihatan hanya akan terjejas sekiranya makulopati diabetes berlaku. Separuh daripada pesakit dengan masalah retinopati diabetes proliferatif dijangkakan mengalami Makulopatiadiabetik.

Manakala, tiada rawatan yang diperlukan untuk retinopati diabetes bukan proliferatif, rawatan segera adalah diperlukan untuk merawat retinopati diabetes proliferatif untuk mengelakkan pendarahan yang serius dan kebutaan.

| SBP