Sejarah penghijrahan kaum Iban dari Sarawak ke utara Borneo bermula pada awal tahun 1920 atas faktor ekonomi dan pekerjaan serta sifat semulajadi kaum Iban yang suka merantau. Maksud perkataan Iban itu sendiri dalam Bahasa Iban ialah Orang atau Manusia atau kata ganti nama yang merujuk kepada Orang yang tidak dikenali atau perantau yang tidak dikenali atau dalam bahasa Iban ialah Temuai.
Pada permulaannya, faktor ekonomi telah menarik kaum Iban dari Bahagian Miri, Bintulu, Sibu, Mukah, Kapit, Sarikei, Betong, Sri Aman dan Samarahan berhijrah hingga ke utara Borneo iaitu Brunei dan seterusnya ke Sabah. Kaum Iban dari Miri, tengah dan selatan Sarawak telah berhijrah dari tempat asal mereka ke utara Sarawak, kerana adanya faktor tarikan ekonomi dan peluang pekerjaan yang besar terutamanya apabila Negara Brunei membuka peluang pekerjaan kepada orang bukan warganegara Brunei di sektor carigali minyak dan sektor pembinaan di Brunei, kaum Iban yang merantau dengan cepat mengambil peluang tersebut.
Kaum Iban telah berhijrah melalui Miri ke Brunei dan Limbang. Separuh daripada penghijrah kaum Iban terus menetap di Brunei manakala separuh lagi meneruskan penghijrahan ke utara Borneo iaitu Limbang dan Sabah. Penghijrahan besar kaum Iban dari Miri, tengah dan selatan Sarawak ke Brunei dan Limbang telah mengubah urbanisasi di utara Sarawak sehingga menjadikan kaum Iban menjadi kaum majoriti yang menguasai pelbagai sektor di Bahagian Miri dan Limbang. Hasil dari penghijrahan kaum Iban ke Brunei dapat dilihat dengan jelas hari ini apabila kaum Iban Brunei membentuk 10% atau 40,000 daripada 400,000 penduduk Brunei (bancian 2007). Sekarang, kaum Iban menjadi kaum ketiga terbesar di Negara Brunei dan Bahagian Limbang selepas kaum Melayu Brunei-Kedayan dan Kadazan Dusun-Bisaya.
Apabila kerajaan Sabah mempergiatkan pembalakan di pendalaman Sabah dan membuka ladang kelapa sawit berskala besar awal tahun 1970, kaum Iban terutamanya pemuda lelaki kaum Iban yang menetap di Limbang dan Brunei cepat mengambil peluang tersebut dengan berhijrah melalui bahagian Pedalaman Sabah melalui jalan pembalakan dan jalan air ke Sipitang dan kemudian ke Tenom dan kemudian ke Keningau dan kemudian ke Nabawan sebelum sampai ke Hulu Sungai Kinabatangan. Pada awalnya, penghijrah kaum Iban bekerja di kem-kem pembalakan di sekitar pendalaman Kinabatangan. Setelah pembalakan di Kinabatangan semakin berkurangan, mereka telah berhijrah Hilir Sungai Kinabatangan sebelum sampai ke Sandakan dan menetap sementara di Sandakan.
Pada awal tahun 1970 itu juga kerajaan Sabah telah membuka perladangan kelapa sawit berskala besar di Lahad Datu, penghijrah kaum Iban yang berkelana di sekitar Sandakan cepat mengambil peluang tersebut. Mereka kemudian berhijrah ke bahagian Tawau terutama di daerah Lahad Datu. Memandangkan kaum Iban yang berhijrah ke Sabah tersebut majoritinya masih bujang seawal umur 20an ke 30an, semasa bekerja di ladang-ladang kelapa sawit di Lahad Datu, lelaki kaum Iban telah berkahwin dengan perempuan-perempuan tempatan kaum Dusun Idaan dan yang terdapat di Lahad Datu.
Kaum Iban yang telah berkahwin dengan perempuan-perempuan tempatan kaum Dusun Idaan tersebut, telah berhijrah dari Lahad Datu ke daerah Tawau untuk mencari penghidupan baru. Semasa di Tawau pula, lelaki kaum Iban telah berkahwin dengan perempuan-perempuan tempatan kaum Dusun Dumpas. Kesan dari perkahwinan penghijrah kaum Iban dengan perempuan-perempuan tempatan kaum Dusun Dumpas tersebut dapat dilihat dengan jelas hingga ke hari ini di Tawau apabila bahasa kaum Dusun Dumpas di kawasan tersebut berbeza sedikit dari bahasa Dusun di tempat-tempat lain. Kaum Iban yang terkenal dengan cara kehidupan berdekatan dengan alam semulajadi, telah pergi ke Merotai.
Pada masa tersebut, kawasan Merotai masih lagi belum diterokai, dan kaum Iban telah menerokai kawasan Merotai tersebut. Sesuai dengan citarasa semulajadi kaum Iban, pada masa itu, kawasan tersebut masih lagi banyak ikan-ikan di sungai dan haiwan-haiwan di hutan yang boleh diburu dan dijadikan santapan lauk, dan tanah juga yang masih lagi terbentang luas tempat bercucuk tanam sayur dan padi. Hal ini telah menarik perhatian penghijrah kaum Iban terus menetap di Merotai hingga ke sekarang.
Dianggarkan sekarang, jumlah penduduk kaum Iban di daerah Merotai sahaja lebih kurang 4,000 (bancian 2010). Sekarang ini juga kaum Iban Merotai mula tersebar luas di daerah Kalabakan. Kebanyakan kaum Iban Merotai menguasai sektor perladangan kelapa sawit dan koko di Tawau. Sekarang, kebanyakan dari mereka mempunyai darah perkahwinan campuran dengan Dusun Idaan, Dusun Dumpas, Cina, Murut Tagal, Murut Tidong dan Murut Sembakong, ini kerana asal-usul kaum Iban Merotai sendiri adalah hasil campuran lelaki kaum Iban dengan perempuan kaum tempatan di timur Sabah, namun mereka masih lagi kuat berpegang kepada adat resam Iban seperti di Sarawak serta masih lagi mengamalkan kebudayaan tradisional Iban.
Walaupun mempunyai darah campuran perkahwinan, kaum Iban Merotai masih lagi menggunakan bahasa Iban yang asli dalam pertuturan seharian. Dari segi kepercayaan juga, 90% daripada kaum Iban Merotai beragama Kristian dan 10% lagi beragama Islam. Walaupun kaum Iban Merotai tidak diklasifikasikan secara khas di Sabah dan masih lagi diklasifikasikan sebagai kaum Iban namun telah mendapat pengiktirafan sebagai penduduk Bumiputera Sabah.
Kadang-kadang pengklasikasian kaum Iban Merotai kedalam kaum Iban, telah menyebabkan kekeliruan pelbagai pihak yang mengkatogorikan mereka sebagai Bumiputera Sarawak sedangkan mereka sebenarnya Bumiputera Sabah yang berasal dari Sabah. Dari segi hak-hak pribumi Sabah juga, sering timbul kekeliruan apabila mereka dikategorikan sebagai kaum Iban yang lebih sinonim di Sarawak, sedangkan mereka berstatus Bumiputera Sabah. Adalah perlu mengklasifikasikan kaum Iban Merotai yang sinonim dengan Bumiputera Sabah, agar dapat dibezakan dengan kaum induknya iaitu kaum Iban yang sinonim dengan Bumiputera Sarawak.