Berdasarkan rakaman CCTV, seorang kanak-kanak di Chengdu, China bernama Junjun pulang ke pangsapuri rumahnya seperti biasa pada petang lalu.
Dia dilihat berjalan perlahan-lahan menuju elevator dengan menundukkan kepala dan memakai beg sandang belakang.
Bagaimanapun kanak-kanak itu tidak menekan butang lima di mana rumahnya berada sebaliknya menunggu hingga tingkat 30 sebelum keluar.
20 minit kemudian, penghuni pangsapuri tersebut mendengar bunyi dentuman kuat seperti kemalangan kereta.
Ia adalah Junjun, yang terjun dari tingkat 30 lalu mati serta merta.
Di lantai tingkat di mana Junjun nekad mengakhiri riwayatnya, terkapar beg sandang belakang yang dibawa kanak-kanak itu ke sekolah setiap hari.
Sebuah buku teks bagaimanapun kelihatan terbuka di sisi beg tersebut dengan tertulis nota untuk cikgunya.
Rupa-rupanya, sebuah hukuman biasa yang diberikan seorang guru di sekolah benar-benar mempengaruhi emosi Junjun hingga dia tergamak mengambil jalan sesingkat itu.
Menurut gurunya ketika sesi persekolahan hari tersebut, Junjun dan lebih sepuluh murid lain telah membuat bising ketika satu pertandingan membaca diadakan.
Sebagai hukuman, murid-murid itu dberikan dua denda untuk dipilih iaitu berdiri selama sejam atau menulis sebanyak 1,000 patah perkataan yang mengutuk diri sendiri.
Junjun memilih hukuman kedua namun menangis sebelum pulang dan bertanya bagaimana jika dia tidak mampu menyiapkannya.
Siapa sangka, persoalan itu terlalu membebani fikirannya hingga dia menulis di nota akhir sebelum terjun, “Cikgu, saya tak dapat buat.”
Sumber: China Smack