Petaling Jaya: Peti pelindung bayi atau ‘baby hatch’ adalah pilihan terakhir kepada bakal ibu yang mengandung anak tidak sah taraf atau diabaikan oleh anggota keluarga masing-masing, menurut yayasan yang mengendalikan program berkenaan.
Bagaimanapun, Yayasan Orphancare yang menyediakan kemudahan itu menasihatkan bakal ibu yang ingin meletakkan bayi mereka dalam program baby hatch supaya mendapatkan nasihat daripada yayasan terlebih dahulu.
Pemegang Amanah Yayasan Orphancare, Noraini Hashim berkata dengan cara itu, pihaknya akan dapat mengenal pasti identiti bayi berkenaan sebelum diserahkan kepada pasangan yang mahu mengambilnya sebagai anak angkat.
“Yayasan amat menitikberatkan kehidupan bayi tersebut, oleh itu adalah lebih baik jika mereka (bakal ibu) yang menghantar bayi ke baby hatch supaya dapat berjumpa dengan pihak kami,” katanya ketika ditemui Bernama, baru-baru ini.
Noraini berkata bayi yang diletakkan di dalam baby hatch tanpa identiti akan menyukarkan pihaknya untuk mengenal pasti status bayi itu dari segi agama, keturunan dan bangsa.
Menurut Noraini, sejak tahun 2009, yayasan itu menyelamatkan 137 bayi terbuang dan daripada jumlah itu, 22 adalah bayi yang diletakkan di dalam baby hatch.
Bayi yang diselamatkan itu ada antaranya dijaga anggota keluarga mereka selepas mendapat kaunseling atau diserahkan kepada pasangan yang belum mempunyai anak untuk dijadikan anak angkat.
Namun, katanya, jumlah kecil bayi yang diletakkan di dalam baby batch menunjukkan ibu itu lebih memilih untuk membuang bayi mereka daripada dihantar ke tempat yang lebih selamat.
Katanya tahun lalu, seramai 15 bayi dan enam baby hatch diselamatkan oleh yayasan manakala tiga bayi serta empat baby hatch diselamatkan setakat ini.
Jelasnya, meletakkan bayi di baby hatch bukanlah satu kesalahan jenayah dan yayasan sentiasa bersedia menerima bayi berkenaan untuk diberikan perlindungan.
Baby hatch merupakan sebuah peti pelindung bayi yang dilengkapi dengan pendingin hawa, tilam dan bantal, lampu, kamera litar tertutup termasuk sensor berat badan yang akan mengaktifkan penggera supaya penjaga pusat berkenaan mengetahui bayi diletak di dalam peti itu.
Peti berkenaan tidak boleh dibuka semula selepas bayi diletak di dalamnya sebagai langkah keselamatan bagi mengelak bayi itu diambil oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Noraini berkata bayi yang diletakkan di dalam baby hatch itu akan diserahkan kepada pasangan yang telah berdaftar untuk proses pengambilan anak angkat kendalian yayasan berdasarkan garis panduan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dengan beberapa syarat tambahan daripada yayasan.
“Antara syarat itu ialah pasangan ibu bapa angkat perlu menghadiri kursus selama lapan jam di Orphancare, menjawab soal selidik daripada JKM dan Orphancare serta kunjungan secara mengejut oleh pihak yayasan ke rumah pasangan berkenaan.
“Setakat ini, seramai 759 pasangan berdaftar dan melepasi tapisan sedang menunggu giliran untuk mendapatkan bayi daripada yayasan,” katanya.
Noraini berkata yayasan juga akan memantau perkembangan anak-anak yang diserahkan kepada keluarga angkat melalui lawatan setiap enam, 12 dan 24 bulan selepas proses pengambilan anak angkat selain mengadakan majlis ramah mesra setiap tahun.
Terdapat 11 buah baby hatch ditubuhkan di seluruh negara termasuk tiga dikendalikan oleh yayasan iaitu di Kampung Tunku, Petaling Jaya; Bandar Baru Uda, Johor Baharu dan Sungai Petani, Kedah.
Baby hatch yang lain adalah di KPJ Healthcare Berhad (KPJ) di Damansara Specialist Hospital; KPJ Ipoh, Perak; KPJ Johor; KPJ Tawakal, Kuala Lumpur; KPJ Seremban, Negeri Sembilan; KPJ Pulau Pinang; KPJ Perdana, Kelantan dan KPJ Kuantan, Pahang. - sentiasabikinpanas.com
Sumber: Bernama