Thursday, February 16, 2017

Bagi Aku, Nilai 12 Ringgit 50 Sen Itu Sangat mahal. Aku Bukannya Anak Orang Berada Yang Begitu Mudah Dapatkan Nilai Wang Sebegitu.

BUNYI kokokan ayam mengejutkan aku daripada lena. Tubuh kecilku bingkas bangun walaupun kedinginan pagi itu berusaha memujukku untuk melayan aksi-aksi menarik dalam mimpi.

Mujur semangatku lebih handal menangkis semua godaan itu. Aku pantas mencapai lampu minyak tanah buatan asli ayah yang disimpan di tepi dinding bersebelahan dengan mancis.


Lampu itu banyak berjasa meskipun asal usulnya daripada bekas botol kaca sos cili yang dikutip di tepi jalan hasil buangan orang. Aku menyalakan pemetik api lalu membakar sumbuh lampu itu. Cahaya oren kekuningan menerangi ruang tamu rumah. Adik, kakak, abang, mak dan ayah masih berbaring di atas lantai papan.

Ayah dan mak yang baring di ruang tamu hanya menoleh ke arahku dan menyambung semula tidur mereka. Aku memasukkan mancis ke dalam poket seluar panjangku dan terus berjalan keluar. Aku mengatur langkah untuk menuruni anak tangga uzur ala lif dan banyak mengakibatkan aku jatuh itu. Kesejukan embun pagi serta bunyi-bunyian pada waktu subuh mengiringi langkahku sehingga aku tiba di bawah pokok mangga di halaman rumah. Aku memerhati sekitar lingkungan bawah pokok mangga itu perlahan-lahan. Buah mangga air kelihatan kehijau-hijauan apabila tersuluh oleh lampu itu.

Hujung bajuku yang berada di bahagian depan ku gigit agar mempunyai ruang untuk menyimpan buah mangga itu. Pantas saja tanganku mengutipnya dan memasukkan mangga itu di ruangan baju yang ku jadikan sebagai bakul itu. Aku memegang hujung baju yang aku gigit itu kerana buah mangga sudah bertambah berat. Aku meneruskan pencarian buah mangga. Aku akan meletakkan lampu ke atas tanah jika menjumpai buah mangga. Ada juga buah yang kubuang kerana sudah buruk atau dah dirasmikan ulat.

Selepas berkali-kali mengelilingi pokok buah mangga itu, aku pun mengorak langkah naik semula ke rumah dengan senyuman lebar. Tiba saja di ruang tamu, mak sudah kedengaran sibuk meniup api menggunakan buluh silinder itu. Ayah, kakak dan abang masih lena. Aku meletakkan lampu ke lantai dan ku susuli dengan mengeluarkan buah mangga satu persatu ke dalam besen yang berada di tepi dinding berhampiran laluan ke dapur. Kemudian, aku memegang lampu tadi lalu meniupnya dengan tenaga angin paling kuat daripada mulutku sehingga api lampu itu terpadam. Seraya itu, aku berdiri lalu menepuk-nepuk baju yang dilekati kotoran bawaan buah mangga itu berkali-kali dengan tangan yang sebelah lagi.

Setelah itu, aku menyimpannya di tempat asal berserta mancis. Lampu itu memang akan dipadam setiap kali usai digunakan dan digantikan dengan lampu yang lebih kecil sumbuhnya untuk menjimatkan minyak tanah. Ayah sudah berkali-kali berpesan untuk meniup lampu itu bukan setakat jimat tapi untuk selamat daripada kebakaran. Pesanan itu sangat kuat tersemat di hatiku sehingga sentiasa terngiang-ngiang di telingaku. Lantai dapur juga lebih kurang keadaannya dengan tangga rumahku. Kata orang, silap-silap hari bulan kaki akan tertanam hingga ke paras paha. Aku turun ke dapur memandangkan lantai dapur lebih rendah kira-kira setengah meter daripada paras lantai ruang tamu. “Jaga kaki tu, tengok mana nak pijak dulu,” pesan mak sebaik aku turun ke ruangan dapur.

Aku tak menjawab tapi mengiyakannya dengan mengatur setiap langkah. Aku sedikitpun tak jemu walaupun pesanan itu seperti pesanan ayah, seringkali kudengar. Aku mencedok air di dalam baldi menggunakan mangkuk yang terapung lalu menuangkannya ke besen yang berisi buah mangga tadi. Beberapa kali kulakukan perkara yang sama sehingga besen itu penuh barulah aku mula membasuh buah mangga itu satu persatu hingga selesai. Siang sudah mulai memunculkan dirinya. Ayah duduk di bangku kaki lima sambil menghisap rokok tembakau. Aku, kakak dan abang siap berpakaian seragam sekolah.

Kedengaran bunyi ayam berebut-rebut mematuk buah mangga yang ku reject di halaman rumah. Aku tersenyum. Syukur aku lebih awal bangun dan menangi persaingan dengan memungut buah mangga itu. Kalau tak, tentu ayam-ayam itu sudah dulu menjamah mangga yang elok. Kami bertolak ke sekolah berbekalkan masakan mak dan pesanan ayah. Kanak-kanak sekampung denganku memang sudah terbiasa dengan jarak tiga kilometer dari rumah ke sekolah sekali perjalanan. Pemandangan ketika meniti jambatan gantung, melalui sungai dan jalan raya belum berturap sedikit sebanyak memujuk penat.

Perjalanan yang mencabar itulah pentingnya bekalan nasihat daripada mak dan ayah.Kami bertiga tiba ke sekolah awal. Aku tak pernah memegang rekod lewat ke sekolah walau aku masih kecil untuk melalui perjalanan jauh. Malah staminaku pasti sudah kuat. Bayangkan saja keseluruhan perjalanan enam kilometer sehari. Lima kali sehari pula tu. Aku juga hairan. Rakan-rakan sebaya yang tinggal berhampiran dengan sekolah pun selalu kena denda dek lewat. Manja barangkali, aku pun tak pasti. Loceng sekolah berbunyi tanda waktu rehat telah tiba. Seperti biasa, aku mengeluarkan buah mangga yang ku kutip dan mempromosikan kepada rakan-rakan sekelas. Aku dikerumuni dan sekejap saja jualanku laku. Rakan-rakanku yang kehabisan sanggup meminta sedikit bahagian mangga itu daripada rakan-rakan yang berjaya membelinya. Mereka mencecah buah mangga itu dengan garam dan cili yang kusediakan di dalam plastik kuih. Aku biarkan saja mereka menikmati buah mangga itu beramai-ramai.

Aku bergegas ke arah kelas kakak dan kemudian ke kelas abangku untuk membahagikan wang jualan seperti yang selalu kubuat. Dua ringgit aku peroleh kesemuanya. Masing-masing memperoleh 50 sen seorang termasuk bahagian untuk tabung yuran sekolahku. Aku dan adik beradikku tak pernah meminta wang belanja ke sekolah. Bekalan yang ibu sediakan sajalah menjadi belanja kami. Lagipun, kami layak menerima Rancangan Makanan Tambahan (RMT) di sekolah.
Mak juga melarang kami untuk menerima huluran percuma daripada rakan-rakan atau orang yang tak dikenali apatah lagi meminta-minta. Selesai saja pembahagian wang, aku membeli mee sup 50 sen di kantin sebagai lauk dan sayur. Maklumlah, bekalan yang mak sediakan berupa nasi kosong. Meskipun begitu, makanan itu lebih baik daripada makan ubi saja atau tak ada makanan. Aku jarang makan makanan RMT kerana aku pernah sakit teruk dan muntah di sekolah selepas makan makanan bantuan itu.

Mungkin kebetulan perkara itu berlaku, tapi aku sudah fobia. Antara rakan sekelasku,hanya Rais yang menyindir makanan ringkasku itu. Tapi telingaku dah tebal dengan caciannya. Asal dapat makan, kenyang, bukan hasil curi, sudah. Hanya itu yang berlegar di fikiranku. Mata pelajaran akhir hari itu ialah bahasa Melayu. Cikgu Aisyah menguji kami membaca seorang demi seorang sebelum pulang. Rais mendapat giliran ujian membaca sebelum aku. Lama juga Rais berada di depan tanpa suara. Cikgu Aisyah membiarkan dia berdiri di hadapan dan terus memanggil giliranku. Aku membaca ayat dalam teks yang berada di atas meja guru sebaik mungkin.

“Hah, murid-murid, contohi Anis. Anis tak sekolah tadika tau. Bukan macam Rais ni,” puji Cikgu Aisyah. Habis kembang hidung aku apabila dipuji sebegitu. Rais menjelingku. Aku buat-buat tak tahu. Nasib baiklah aku sudah awal-awal diajar di rumah. Aku pulang dengan gembira dan menceritakan hal itu pada mak dan ayah. Mereka turut memujiku, hatiku tambah kembang, bangga. Hari Jumaat peluang akhir bagiku menjual secara curi-curi di sekolah.

Aku sudah awal-awal memasang niat melunaskan yuran hari itu selepas kelas habis kerana guru-guru biasanya masih berada di bilik guru. Waktu rehat hari itu, aku dan kakakku makan bersama-sama di belakang bangunan kelas.

“Kasihannya,” kata pak cik pekebun yang lalu di situ. Kami hanya berpandangan dan tersenyum ke arah pak cik itu dan terus menjamah nasi berlauk air dan garam. Beberapa minit setelah usai makan, loceng berbunyi petanda rehat telah tamat. Kami terpaksa bergegas ke kelas masing-masing. Sesi pembelajaran dan pengajaran tamat awal hari itu kerana adanya solat Jumaat. Aku memasukkan buku ke dalam begku. Mukaku bertukar merah. Aku baru perasan, duit dalam plastik yang kusimpan dalam beg sudah tiada. Aku mula gelabah.

Rais yang berada di ambang pintu kelas menghala ke arahku lalu menjelirkan lidah sambil memicit pipinya dan terus berlari meninggalkanku. Aku yakin dialah pelakunya. Hatiku benar-benar terguris dengan perbuatan rakan sekelasku itu. Hasil wang yang ku kumpul hasil kerja kerasku selama ini untuk membayar yuran kelas lenyap begitu saja. Aku duduk di bangku kayu kelas dan menangis teresak-esak untuk melepaskan rasa sakit di hati. Tiada siapa yang sedar akan hal itu kerana murid-murid sudah keluar. Aku merasa bingung kerana tarikh akhir pembayaran yuran kelas itu, Isnin depan. Esok cuti, tak dapat jual di sekolah. Kalau nak jual dalam jumlah yang banyak pada hari Isnin, aku tak mungkin mampu mengangkat melebihi berat 10 biji mangga, buku teks dan bekalan dengan perjalanan yang jauh.

Jika kakak dan abangku bantu sekalipun, hasil jualan tak mungkin mencecah jumlah yuran tu dalam sehari. Tangisanku semakin kuat apabila memikirkan hal itu. Bagi aku, 12 ringgit 50 sen itu sangat mahal. Aku bukannya anak orang berada. Senang saja dapatkan nilai wang sebegitu. Minta sesuatu daripada mak pun berat mulutku menyuarakannya. Aku mencapai beg dan mula berjalan lesu keluar dari kelas untuk pulang kerana aku takut mak akan risau kalau aku pulang lambat. Aku mengesat air mata di pipi yang masih bersisa dengan kedua belah tanganku sambil meneruskan langkah lemah. Sepanjang perjalanan pulang, aku berfikir cara untuk menamatkan serabut di kepalaku.

Namun, tiada sebarang ilham kuperoleh. Agak petang juga aku sampai rumah dengan kepantasan langkah kaki budak kecil berumur tujuh tahun. Aku tertidur dengan persoalan yang belum terjawab. Mak perasan perubahanku sejak aku balik. Hari sudah gelap sewaktu mak mengejutkan aku. Mak menyuruh aku makan. Aku makan sikit saja dan tidur semula. Aku terjaga apabila bunyi seseorang meniup menggunakan buluh silinder di dapur. Aku tahu itu mak tapi aku bingkas bangun untuk melihatnya sendiri. Mak memandang ke arahku lalu menghulurkan kuih ubi kukus yang dah siap dimasak. Aku memakannya dengan lahap.

Kemudian, aku membantu mak meniup api sambil mengesat air mata yang mengalir dek asap dapur kayu itu. Peniup api buluh itu kusimpan di tepi apabila api sudah marak dan mengambil kuih yang tertimbun di besen. Ada juga kuih yang mak dah susun dalam plastik kuih. Awal pagi itu, aku menemani mak menjual kuih dari rumah ke rumah. Kami pun balik ke rumah setelah siap menjual.

Lebih 25 ringgit juga pendapatan hari itu walaupun ada juga yang dihutang orang. Keesokan harinya, kami menjual lagi tapi kali ini ada sayur dan kuih jenis lain sebagai tambahan. Aku sangat gembira tetapi masih sukar untuk menyuarakan permintaan wang kepada mak. Sebelum ke sekolah pada hari Isnin, mak menghulurkan wang 13 ringgit kepadaku termasuk 50 sen sebagai belanja sekolah. Kakak dan abang juga mendapat 50 sen seorang. Aku sangat terkejut.

Menurut mak, aku mengigau sambil menyebut-yebut yuran tu. Betapa leganya hatiku. Di sekolah, aku sentiasa membawa duit itu bersama. Sehinggalah aku berjaya bayar yuran itu. Aku keluar daripada daripada bilik guru sambil menghembuskan nafas lega. Hari itu, aku balik ke rumah bersama-sama rakan sebayaku. Kakak dan abangku masih ada kelas tambahan kerana sudah tahap dua iaitu masing-masing darjah empat dan enam. Aku pula terkecuali kerana masih tahap satu. Dari jauh lagi aku sudah memanggil-manggil mak aku. Mak yang sedang baring melunaskan lelah di ruang tamu tetap tangkas menyahut panggilanku. Aku pantas menaiki tangga uzur rumah dan menanggalkan kasut di kaki lima. Kemudian aku berlari masuk mendapatkan mak.

“Terima kasih mak, Anis dah bayar yuran tadi,” laporku teruja dan dalam keadaan berpeluh. Mak memandangku sambil tersenyum. Aku meletakkan beg di tepi dinding dan baring di bawah ketiak mak. Kepalaku diusapnya lembut sehingga aku tak sedar, aku terlelap dengan belaian paling indah itu.

Oleh Norhajirah Sutail