Saturday, September 17, 2016

Harimau Malaysia Dapat Logo Baharu.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memperkenalkan secara rasmi logo baharu Harimau Malaysia, rekaan Muhammad Amzar Mohamed, pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Seni Reka Grafik di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam.
Logo rekaan pelajar berusia 22 tahun itu diperkenalkan kepada umum sebelum sepak mula Perlawanan Amal Hari Malaysia 2016 antara pasukan Dugong All Stars menentang Pilihan Harimau Malaysia di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Seremban.

Logo tersebut mendapat undian tertinggi dalam undian awam yang dibuat secara dalam talian selama 13 hari bermula pada 22 Mac hingga 3 April lalu.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan FAM, rekaan Muhammad Amzar antara lima logo terbaik dipilih panel penilai profesional pada 8 Mac 2016 daripada 2,000 penyertaan diterima sepanjang peraduan mencipta logo Harimau Malaysia.

Serentak dengan itu, lagu rasmi Harimau Malaysia yang berjudul “Launglah” turut diperdengarkan secara rasmi kepada umum.
Pada 2 Februari lalu, Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah mengumumkan nama Harimau Malaysia sebagai gelaran rasmi baharu skuad bola sepak kebangsaan berkuat kuasa serta merta.

Antara tujuan penjenamaan pasukan kebangsaan kepada Harimau Malaysia adalah untuk menunjukkan bahawa pasukan kebangsaan adalah milik semua peminat bola sepak Malaysia dan ini terbukti melalui proses penghasilan logo secara crowdsource ini.

Logo baharu ini juga diterjemahkan dalam bentuk produk Official Supporters Merchandise yang boleh dibeli dilaman web rasmi www.harimaumalaysia.my yang bermula pada Jumaat kelmarin.

Produk-produk ini bertujuan untuk memberi peluang kepada peminat untuk menzahirkan sokongan mereka terhadap skuad bola sepak kebangsaan dengan memiliki barangan berkualiti dan rasmi keluaran Harimau Malaysia dengan harga mampu milik.

Sumber: mStar | Sentiasabikinpanas