Saturday, September 24, 2016

Fenomena Ekuinoks - Tanda Bermulanya Musim Bunga Dan Luruh 2016.

Permulaan musim bunga dan luruh hemisfera utara dan selatan telah berlaku pada 22 September lalu pada jam 10.21 malam waktu tempatan. 


Fenomena tersebut berlaku apabila Matahari melintasi garisan khatulistiwa (0 darjah latitud), menyebabkan seluruh dunia akan mengalami tempoh siang dan malam yang sama panjang serta menandakan permulaan musim luruh di hemisfera utara dan musim bunga di hemisfera selatan. 
Pegawai Penyelidik Agensi Angkasa Negara (ANGKASA), Mohammad Redzuan Tahar berkata fenomena yang berlaku dua kali setahun ini terjadi apabila Matahari melintasi garisan Khatulistiwa dan berubah kedudukannya dari hemisfera Utara ke hemisfera Selatan setelah enam bulan berada di hemisfera tersebut. 

“Ketika ia berlaku, mereka yang berada pada waktu siang di kawasan berdekatan dengan garisan Khatulistiwa pada masa yang sama juga, mereka akan mengalami keadaan tanpa bayang di sebabkan matahari berada tegak di atas kepala.” 

“Keadaan ini akan mengambil masa seketika bergantung kepada waktu tempatan masing-masing. Namun ia khusus berlaku di kawasan-kawasan yang berada pada garisan khatulistiwa tersebut.” jelasnya ketika dihubungi oleh media sebentar tadi. 


Tambahnya lagi, semasa fenomena Ekuinoks, seluruh dunia akan mengalami waktu siang dan malam yang sama panjang iaitu 12 jam siang dan 12 jam malam. 

Orang ramai juga dinasihati untuk tidak berasa cemas kerana fenomena ini merupakan fenomena biasa dan ia juga tidak berkait dengan keadaan hujan dan panas pada masa sekarang. 

Katanya, kali terakhir dunia mengalami fenomena tersebut adalah pada 20 Mac lalu. 

Untuk sebarang pertanyaan, orang ramai boleh menghubungi ANGKASA di talian 03-3182 4000 atau layari laman web www.angkasa.gov.my atau laman sosial Facebook Agensi Angkasa Negara.

Sumber: Penerangan | SBP