Saturday, July 9, 2016

Amerika Menasihati Rakyatnya Berhati-hati Semasa Berada Di Malaysia.

Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur mengeluarkan peringatan kepada rakyatnya mengenai keperluan supaya berhati-hati dan kesedaran keselamatan peribadi semasa dalam perjalanan di Malaysia.

Kedutaan itu mengeluarkan mesej keselamatan itu yang disiarkan di laman webnya dua hari lalu, susulan pihak berkuasa Malaysia mengesahkan elemen militan Negara Islam (IS) dalam letupan di sebuah kelab malam di Puchong, dan juga beberapa serangan lain di Bangladesh, Turki, Iraq, Arab Saudi dan Indonesia.

Pada masa lalu, pengganas merancang serangan mereka bertepatan dengan beberapa tarikh penting, kata kedutaan itu.


"Pada masa ini, kedutaan Amerika Syarikat tidak mengetahui sebarang ancaman pengganas khusus kepada rakyat Amerika Syarikat di Malaysia.

"(Namun) rakyat Amerika Syarikat perlu sentiasa berhati-hati pada setiap masa semasa dalam perjalanan; rakyat Amerika Syarikat di luar negara mungkin menjadi sasaran oleh kumpulan pelampau tanpa mengira di negara mana mereka berada."

Ia juga menasihatkan rakyatnya untuk mengkaji semula pelan keselamatan peribadi, kekal sedar berhubung persekitaran, termasuk acara tempatan, dan memantau stesen berita tempatan untuk maklumat terkini.

"Kekalkan tahap yang tinggi berwaspada, ambil langkah-langkah sewajarnya untuk meningkatkan keselamatan peribadi anda, dan ikut arahan pihak berkuasa tempatan,” katanya.

Sumber: malaysiakini.com