Monday, May 23, 2016

Ludah Semasa Proses Pembungkusan, Peniaga Buah Durian Akan Dipanggil Polis.

Malaysia: Susulan viral satu video seorang individu yang dituduh orang ramai kerana seolah-olah meludah pek buah durian ketika proses pembungkusan, pihak polis akan memanggil peniaga durian tersebut untuk memberi keterangan.

Harian Metro melaporkan, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Ali Ahmad berkata tindakan akan diambil jika ada kesalahan yang dilakukannya.

"Kami akan memanggil peniaga berkenaan dan akan siasat perkara ini. Jika didapati melakukan kesalahan, tindakan akan diambil mengikut undang-undang sedia ada.

"Setakat ini tiada laporan polis dibuat dan tiada penahanan. Unit peronda sudah memantau lokasi malam tadi tetapi peniaga berkenaan sudah tiada," katanya lapor Harian Metro.

Sejak petang semalam, rakaman video yang didakwa berlaku di Taman Sri Gombak itu menjadi viral di media sosial.

Akibat serangan orang ramai secara terus ke kedainya itu, peniaga tersebut sudah tidak lagi berniaga di situ.

Seorang lelaki yang enggan dikenali ketika ditemui oleh Harian Metro di lokasi berkata, gerai berkenaan sudah beroperasi lebih 10 tahun di situ, dan berlaku sedikit kekecohan, kira-kira 9 malam tadi.

"Selepas rakaman itu viral petang tadi (semalam), orang ramai datang dan marah-marah. Mereka pun berkemas bawa semua barang jualan masuk ke dalam lori," katanya.

Selain itu, pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) cawangan Gombak turut kelihatan membuat tinjauan di kawasan tersebut.

Sumber: HMetro