Saturday, May 14, 2016

Lelaki Singapura Menjadi Mangsa Virus Zika.

Singapura, 13 Mei: Seorang lelaki warga Singapura menjadi mangsa pertama di negara itu selepas, dia dilaporkan dijangkiti virus Zika.

Lelaki berusia 48 tahun itu dikatakan telah melancong ke Sao Paulo, Brazil pada 27 Mac hingga 7 Mei lalu.

Kementerian Kesihatan dan Agensi Alam Sekitar Kebangsaan (NEA) Singapura dalam satu kenyataan mengesahkan menerima laporan tentang perkara itu hari ini.

Channel News Asia melaporkan lelaki itu kini berada dalam kuarantin dan sedang dirawat di Hospital Mount Elizabeth Novena.

Lelaki berkenaan didapati mengalami beberapa gejala virus itu sejak Selasa lalu dan disahkan positif jangkitan Zika hari ini.

"Pesakit itu didapati positif virus Zika pada 13 Mei. Dia akan dipindahkan ke Communicable Diseases Centre di Hospital Tan Tock Seng untuk rawatan dan pengasingan bagi meminimakan kebarangkalian digigit nyamuk dan menyebarkan infeksi itu kepada komuniti. Pesakit itu kini dalam keadaan baik dan semakin pulih. Dia akan dibenarkan keluar selepas diuji negatif dengan virus Zika", tulis kenyataan itu.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan akan menjalankan ujian imbasan ke atas ahli keluarga lelaki berkenaan. - sentiasabikinpanas.com