Isu berhubung kenyataan TMJ yang tidak senang dengan tindakan Cawangan Khas Bukit Aman memantau pergerakan dan ‘mencuri’ dengar perbualan telefon baginda hanyalah salah faham, kata Ketua Polis Negara, Khalid Abu Bakar.
Beliau berkata pihaknya telah memberi penjelasan kepada Tunku Ismail berhubung perkara itu dalam pertemuan satu jam kira-kira pukul 10 pagi tadi di Istana Bukit Pelangi di Johor.
“Pagi tadi saya telah pergi menghadap baginda (Tunku Ismail) di Istana Bukit Pelangi, Johor dan sebenarnya ada sedikit salah faham … itu saja dan tiada apa-apa.
“Saya sudah menjelaskan perkara ini kepada baginda dan tidak ada apa-apa masalah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas kejohanan ragbi Piala Rujirawongse 2016 di padang Pusat Latihan Polis (PULAPOL) di Jalan Semarak.
Sebelum itu, Facebook ‘Johor Southern Tigers’ memuat naik status berkaitan wawancara bersama Tunku Ismail. Dalam wawancara itu, Tunku Mahkota Johor tidak faham mengapa pergerakan baginda dipantau dan perbualan telefon dicuri dengar Cawangan Khas.
Berikutan itu, Tunku Ismail meluahkan rasa ‘tidak faham’ mengapa dirinya menjadi sasaran pihak SB.
“Saya tidak faham mengapa telefon saya dicuri dengar. Saya tidak faham mengapa pergerakan saya dipantau oleh SB.
“Saya tidak faham mengapa mereka perlukan fail mengenai saya dan ayahanda saya di Bukit Aman,” titahnya dalam satu temu bual bersama wartawan di Facebook Johor Southern Tigers.
Pada masa yang sama, Tunku Ismail menegaskan bahawa baginda bukanlah pengganas sebaliknya adalah seorang yang prihatin terhadap rakyat.
“Saya bukannya pengganas. Saya tidak berbahaya.
“Saya tidak pernah membunuh sesiapa kecuali ‘membunuh’ bola sepak Malaysia,” titahnya.
Sumber: mynewshub