Showing posts with label ketagihan melampau. Show all posts
Showing posts with label ketagihan melampau. Show all posts

Saturday, May 14, 2016

Gadis Suka Picit Jerawat, Menghadapi Azab! Muka Huduh Tanpa Mekap Dan Merana Sepanjang Hayat.

Setiap pagi, Samantha Wake, 20, akan menghabiskan masa selama beberapa jam untuk menilik parut yang ada pada wajahnya. Pantang ada jerawat, dia pasti akan memicit atau mengopeknya sehingga berdarah.

Gadis kelahiran Telford, Shropshire ini hanya akan berhenti setelah dia berasa puas. Akibat perbuatan pelik tersebut, hampir 100 peratus kulit mukanya dipenuhi parut hodoh.

Jelas Samantha, dia mula ketagih untuk mengerjakan wajahnya pada usia 14 tahun selepas melihat beberapa jerawat kecil di muka.


"Pada waktu itu, saya memicit di kawasan yang terdapat jerawat sahaja di samping menyapu ubat antijerawat.

"Namun, ketika usia 16 tahun, saya begitu ketagih untuk menguis muka walaupun tiada jerawat. Akhirnya, pada usia 18 tahun, saya terpaksa bertemu doktor bagi mendapatkan rawatan," katanya.

Obsesif kompulsif


Bagaimanapun, doktor yang merawatnya memberitahu, perbuatan tersebut perkara normal dan tiada apa-apa yang perlu dibimbangkan.

Samantha hanya mengetahui dia menghidap penyakit dermatilamonia selepas ibunya membawa dia berjumpa dengan seorang pakar yang lain.

Penyakit dermatilomania menjadi punca seseorang ketagih untuk mengopek kulit yang mati sehingga berdarah, lebam dan mudah dijangkiti kuman.

Sesetengah pesakit mempunyai keinginan yang tinggi untuk mengopek parut di kaki atau tangan, tetapi Samantha menjadikan muka sebagai sasarannya.

"Melihat keadaan muka yang dipenuhi darah, saya rasa seperti baru terlibat dalam kemalangan jalan raya.

"Bukan itu sahaja, ramai orang yang bertanya kenapa kulit saya menjadi teruk seperti ini," ujarnya.

Kata Samantha, kebanyakan rakannya tidak mengetahui akan tabiat peliknya itu.

"Saya seperti tidak boleh berhenti kerana saya akan berasa janggal jika tidak membelek muka walaupun sehari," jelasnya.

Penyakit yang dikategorikan sebagai gangguan obsesif kompulsif (OCD) itu lazimnya berlaku kepada wanita berusia antara 15 dan 30 tahun.

Tambah Samantha, dia akan 'tergoda' tatkala melihat wajahnya di cermin.

"Saya akan berasa sangat lega selepas dapat mengopek keruping yang ada.

"Tetapi setelah mendapati kulit saya meninggalkan kesan parut yang sangat hodoh, saya mula takut, menjadi murung dan mudah putus asa," jelasnya.

Walau bagaimanapun, emosi tersebut belum dapat menghentikan tabiat Samantha.

"Badan saya berasa seperti berada di awang-awangan. Jika saya mengesan walaupun bintik yang paling kecil di kulit, saya akan memicit atau mengopeknya sehingga kulit berasa kebas," katanya.

Malangnya tabiat tersebut meninggalkan parut sebesar duit syiling.

"Saya tahu muka saya rosak teruk dan dipenuhi parut serta lubang-lubang kecil.

"Keadaan ini mungkin disebabkan rutin harian saya yang akan melihat cermin dan menilik muka sehingga saya melupakan keadaan di sekeliling," jelasnya.
Ujarnya, tabiat tersebut juga menyebabkan dia kerap terlepas kuliah.

"Jika saya pergi menonton wayang bersama teman lelaki pula, saya akan meninggalkannya seorang diri dan pergi ke bilik air untuk menilik wajah.

Ketagih

"Walaupun berasa puas selepas memicit jerawat, namun saya tetap berasa malu apabila orang melihat wajah saya dengan reaksi yang pelik," katanya.

Untuk itu, Samantha akan memakai solekan tebal sebelum meninggalkan rumah bagi mengelakkan mata-mata nakal di luar sana.

"Jika pergi ke majlis makan malam, semestinya saya ingin kulit saya kelihatan bersih dan cantik.

"Namun, apabila menyedari perkara tersebut tidak berlaku, saya berasa sangat tertekan dan mula menguis lebih banyak lagi parut," jelasnya.

Ujar Samantha, walaupun dia telah mengunjungi banyak klinik, namun, doktor masih gagal merawat penyakitnya.

"Ibu saya pernah membawa saya berjumpa pakar kaunseling dan diajar cara untuk mengawal diri daripada mengulangi perkara tersebut.

"Saya dapati, cermin merupakan musuh utama sehinggakan saya terfikir alangkah baiknya kalau cermin tidak pernah wujud di dunia ini," jelasnya.

Bagi menangani masalah tersebut, Samantha diberikan pil untuk mengelakkan permukaan kulit yang terkopek daripada terkena jangkitan.

Ujar gadis yang bercita-cita untuk bekerja di zoo ini, dia mahu individu yang menghidap penyakit yang sama sepertinya agar tidak berasa rendah diri.

"Saya mahu orang ramai tahu bahawa penyakit ini benar-benar wujud dan bukan disebabkan masalah emosi semata-mata.

"Saya percaya penawar penyakit ini akan ditemui suatu hari nanti, begitu juga akan ada doktor pakar yang boleh dirujuk," jelasnya. | Sentiasabikinpanas

[Sumber]