Saturday, March 11, 2017

Suami Usah Berkeras Sangat Dengan Isteri, Elak Dari Keganasan Rumah Tangga.

AYAT ke-19 Surah An-Nisaa ini selalu dibaca, tidak kira ketika bertadarus di bulan Ramadan atau didengari ketika penceramah menyampaikan kuliah di masjid.


Bahkan juga menjadi hafalan huffaz sebagai pelengkap ingatan pada Surah An-Nisaa. Namun begitu, ia masih lagi belum difahami oleh kebanyakan daripada kita akan isi kandungan serta maksud tersirat yang ingin disampaikan ALLAH SWT di sebalik ayat ini.

Pada permulaan ayat, ALLAH menukilkan: "Wahai orang beriman, tidak halal bagi kamu mewarisi perempuan-perempuan dengan jalan paksaan." Ayat ini membawa maksud tidak boleh mengahwini atau mengahwinkan wanita dengan cara paksa. Ini kerana menurut sebahagian adat masyarakat Arab jahiliah, apabila seorang suami meninggal dunia, abang kepada suami atau adik beradik yang paling tua akan mewarisi janda tersebut.

Mewarisi yang dimaksudkan ialah berhak ke atas diri serta harta yang ada padanya. Janda yang kematian suami itu boleh dinikahi sendiri atau dinikahkan dengan orang lain. Akan tetapi mahar perkahwinan akan diambil oleh ahli waris.

Pada masa yang sama, keluarga suami ini juga berhak untuk tidak membenarkan janda tersebut berkahwin lagi.

Hal ini diharamkan ALLAH. ALLAH sebenarnya telah memberi jaminan kepada mereka yang mendirikan rumah tangga, perkahwinan adalah satu ikatan yang mulia. Dalamnya terkandung banyak kelebihan.

Sehinggakan ALLAH menjadikan pada setiap pasangan yang berkahwin itu perasaan kasih sayang dan belas kasihan antara satu sama lain.

Daripada sinilah lahirnya kecintaan dan kerahmatan sebagaimana yang diinginkan ALLAH.

Namun, pada masa yang sama ALLAH sama sekali tidak suka sesuatu perkara yang tidak baik berlaku dalam rumah tangga yang dibina. Lebih malang, apabila sesuatu ikatan hati itu sentiasa dicemari dengan kekerasan dan kesulitan yang berpanjangan. Oleh kerana itu, salah satu suruhan ALLAH ke atas suami dalam ayat ini ialah perintah untuk bergaul dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik.

WILAYAH PENTING

Rumah tangga adalah wilayah dan jajahan takluk yang diketuai oleh insan bernama suami. Sekiranya suami tidak ada (disebabkan bercerai, hilang, kematian atau lain-lain), maka rakyat (isteri dan anak) yang bernaung di bawahnya pasti berasai kesannya. Oleh sebab itulah peranan suami amat penting dalam menentukan keselamatan dan menjamin keharmonian dalam rumah tangga yang dibina

Tetapi apa yang menyedihkan ialah ramai dalam kalangan suami mengabaikan tanggungjawab besar ini. Mereka seolah-olah mengambil kesempatanterhadap kuasa yang ada dalam rumah tangga untuk melakukan perbuatan dengan sesuka hati.

KEKERASAN RUMAH TANGGA

Dalam Enakmen Undang-undang Keluarga Islam ada disebutkan, kebiasaannya kekerasan terhadap isteri yang berlaku dalam rumah tangga dikategorikan dengan empat bentuk, iaitu:

1. Kekerasan fizikal

Ia adalah perbuatan mendera isteri sehingga menyebabkan kesakitan pada tubuh badan. Perbuatan yang dilakukan itu termasuklah seperti memukul, menampar, menumbuk, melukai, meludah, menarik rambut, mencucuh dengan rokok, menggunakan senjata dan sebagainya. Semua perbuatan ini biasanya akan meninggalkan kesan seperti lebam pada badan, parut yang kekal, cacat anggota tubuh serta kesakitan yang berpanjangan.

2. Kekerasan emosi

Ia adalah perbuatan yang mengakibatkan ketakutan, hilang kepercayaan pada diri, ketidakmampuan untuk bertindak, ketidaktenteraman jiwa serta perasaan yang berkecamuk. Hal ini berlaku apabila dihamburkan dengan penghinaan, maki hamun dengan bahasa kesat, merendahkan harga diri, memaksa serta terlalu mengongkong, memberi ancaman dan menakut-nakutkan isteri dengan ugutan.

3. Kekerasan seksual

Ia adalah perbuatan menzalimi isteri melalui hubungan kelamin. Iaitu dengan menafikan serta mengabaikan keinginan isteri untuk bersama serta menjauhkan (mengasingkan) tempat tidur. Termasuk juga dalam kekerasan ini ialah dengan memaksa isteri bersama tanpa kerelaannya atau sewaktu dia dalam tempoh bercuti, mementingkan kepuasan diri sendiri sahaja dan sebagainya.

4. Kekerasan ekonomi

Ia adalah perbuatan mencuri hak isteri. Iaitu dengan cara memaksa isteri mencari pekerjaan atau duit sedangkan suami pula menghabiskannya dengan boros dan tidak bertempat. Suami malas dan tidak suka bekerja. Apa yang dimahukan hanyalah wang perbelanjaan hasil keringat isteri semata-mata. Sedangkan suamilah yang sepatutnya keluar mencari nafkah buat isteri serta anak-anak.

Jika dilihat kepada faktor berkenaan, sudah pasti sesebuah perkahwinan yang dibina tidak akan dinikmati jika suami bersikap sedemikian. Tidak dinafikan, antara faktor yang menyumbang kepada berlakunya kekerasan dalam rumah tangga adalah disebabkan kurangnya ilmu perihal hukum-hakam dan perkara yang berkaitan dengan perkahwinan. Ramai pasangan yang berkahwin, namun tidak bersedia dan kurang memahami peranan dalam menghadapi setiap permasalahan yang timbul.

Di akhir firman ALLAH ini disebutkan: "Kemudian jika kamu (rasa) benci kepada mereka (disebabkan tingkah lakunya, janganlah kamu terburu-buru menceraikannya." Ayat ini memberi garis panduan yang cukup hebat, iaitu akan ada waktu suami tidak menyenangi karenah isteri disebabkan tindakan yang dilakukan. Lalu ALLAH melarang ke atas suami agar jangan sesekali terburu-buru atau mudah menjatuhkan talak. Ini kerana ia boleh mencalarkan hubungan mulia yang terbina dalam ikatan perkahwinan.

Sebagai saranan khususnya bagi mereka yang merancang untuk mendirikan rumah tangga, diwajibkan untuk memahami selok-belok hubungan berkeluarga dengan sebaik mungkin. Ia penting bagi menjauhkan diri daripada melakukan perbuatan yang tidak sepatutnya ke atas pasangan disebabkan ketidakpuasan hati atas sesuatu perkara.-Sinar Harian

USTAZ MOHAMAD AMIRO SAFWAN MOHD KAMIL, Penulis ialah Editor Kanan Karya Bestari.