Sambutan Hari Hak Pengguna Sedunia, World Consumer Rights Day, diraikan pada tanggal 15 Mac setiap tahun di seluruh dunia sejak 1983, sebagai satu langkah dan lambang penyatuan semangat permuafakatan dan kerjasama semua pihak dalam menggerakkan isu kepenggunaan di peringkat antarabangsa.
Sokongan dan penghargaan kepada rakyat dengan memperkasakan hak dan kuasa pengguna melalui sambutan dan pelaksanaan penguatkuasaan adalah satu perkara yang wajar dipuji.
Hari Hak-Hak Pengguna Sedunia ini pertama kali disambut pada 15 Mac 1983 dengan tarikh 15 Mac setiap tahun dipilih sebagai hari sambutan bagi memperingati tarikh hak-hak pengguna yang diperkenalkan dan diumumkan oleh Presiden John F. Kennady pada tahun 1962.
Di banyak negara isu melibatkan pengguna ini bukanlah satu perkara popular kerana melibatkan banyak pihak yang mempunyai kepentingan peribadi.
Malah terdapat kerajaan beberapa negara tanpa mengira maju atau miskin, kebiasaannya akan menyembunyikan perkara-perkara berkaitan pengguna hanya kerana mahu melindungi pihak peniaga yang sering memalsukan fakta atau kandungan sebenar bahan keluaran mereka.
Lebih malang kerana dalam kebanyakan perkara, masih banyak hal yang berkaitan pengguna bukan sahaja tidak boleh diselesaikan malah berlarutan tanpa penyelesaian.
Dalam sebuah masyarakat moden dan bertamadun tinggi, rakyatnya perlu menjuarai hak mereka sebagai pengguna. Jika kita benar-benar serius sudah sampai masanya kita semua bangkit menggunakan kuasa kita sebagai pengguna.
Hak-Hak Anda Sebagai Pengguna
Ketika ini terdapat 8 hak asasi pengguna yang telah diterima pakai diseluruh dunia dan diambil kira dalam undang-undang berkaitan pengguna sama ada untuk digubal, dipinda atau dikaji semula. Ketahuilah akan hak-hak anda sebagai pengguna.
Berikut adalah 8 hak anda sebagai pengguna yang wajar kita semua ketahui:
1. Hak untuk mendapatkan keperluan asas
Pengguna berhak mendapatkan barang dan perkhidmatan asas bagi menjamin kehidupan yang memuaskan di dunia moden ini.
Keperluan asas ini termasuk makanan yang mencukupi dan selamat, pakaian, perumahan, kemudahan kesihatan dan pendidikan, dan sebagainya.
2. Hak untuk mendapatkan keselamatan
Pengguna dilindungi daripada pemprosesan dan pemasaran barang serta perkhidmatan yang boleh membahayakan pengguna.
3. Hak untuk mendapatkan maklumat
Pengguna mesti diberi maklumat yang mencukupi dan tepat untuk memudahkannya membuat keputusan yang bijak.
Pengguna hendaklah dilindungi juga daripada dakyah pengiklanan, pelabelan dan amalan lain yang palsu, penipuan dan penyelewengan.
4. Hak untuk membuat pilihan
Pengguna dipastikan mendapat maklumat langsung mengenai pelbagai keluaran dan perkhidmatan.
Pengguna perlu diberikan penerangan yang dapat memberi pilihan dalam membuat keputusan. Perlu ada jaminan bagi menentukan mutu dan perkhidmatan memuaskan dengan harga yang berpatutan.
5. Hak untuk bersuara
Perkara ini bagi memastikan kepentingan pengguna mendapat pertimbangan yang sewajarnya dalam penggubalan dasar kerajaan dan tindakan yang cepat serta saksama daripada pentadbiran pengadilan.
6. Hak untuk mendapatkan ganti rugi
Pengguna berhak mendapat penyelesaian untuk pembelian keluaran yang cacat atau berbahaya ataupun perihal dagangannya yang `mengelirukan' serta pampasan bagi perkhidmatan yang menyeleweng atau tidak menepati perjanjian.
Ganti rugi harus diberi bagi keluaran atau perkhidmatan yang mengakibatkan kecederaan kepada penggunanya yang menggunakan keluaran atau perkhidmatan itu mengikut arahan pengeluar.
Ganti rugi juga wajib diberikan kepada pengguna yang menjadi mangsa akibat kecuaian majikan.
7. Hak untuk mendapatkan pendidikan pengguna
Pengguna berhak mendapat pendidikan pengguna yang mencukupi dan berterusan. Perkara ini kerana sistem pendidikan lazimnya tidak memberi perhatian yang sewajarnya kepada pendidikan pengguna.
Falsafah pendidikan pengguna masa ini lebih cenderung melatih pelajar menjadi pekerja atau majikan yang berkesan dan kurang melatih bagaimana hendak menjadi pengguna yang bijak.
8. Hak untuk mendapatkan alam sekitar yang sihat dan selamat
Pengguna berhak hidup dan bekerja dalam alam sekitar yang bersih dan sihat serta bebas daripada sebarang keadaan yang berbahaya.
Hak ini diperjuangkan oleh pengguna kerana kadar pencemaran kian meningkat dan adanya unsur alam semula jadi yang semakin pupus atau dimusnahkan.<
Hak Pengguna Untuk Pemakanan Sejagat
Di Malaysia, Sambutan Hari Hak-Hak Pengguna Sedunia ini dikelola di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK).
Semoga memberi manfaat.
Sumber: Utusan | Relaksminda