Tuesday, March 7, 2017

Bagaimanakah Saya Tahu Dia Sesuai Sebagai Teman Hidup Saya?

Menentukan sama ada seseorang itu sesuai untuk diambil sebagai teman hidup yang kekal adalah satu keputusan yang sangat penting yang anda satu hari perlu lakukan. 


Kegagalan untuk membuat penilaian yang betul yang kemudiannya menyebabkan anda membuat keputusan yang tidak bijak akan membawa kesengsaraan dan penyesalan dalam perkahwinan.

Untuk mengelakkan ini, ada dua hal yang perlu diketahui terlebih dahulu: 
  • Siapa diri anda 
  • Jenis orang yang sepadan dengan anda (ini tidak boleh dikenal pastikan jika anda belum mengenal diri anda dengan baik). 
Jika anda sedar anda seorang putera maka orang yang sepadan dengan anda adalah seorang puteri; jika anda dapati anda seekor pipit, maka yang sepadan dengan anda adalah seekor pipit juga - jangan mencari atau berusaha mengambil seekor enggang sebagai teman hidup (tidak kira betapa hebat atau besarnya enggang itu).

Siapakah anda? Bolehkah anda menulis satu penerangan ringkas dan lengkap tentang diri anda yang boleh dipakai sebagai rujukan dan ukuran oleh seseorang yang mahu mengenal pasti sama ada anda sesuai untuk dia? Apakah elemen-elemen yang anda akan utarakan dalam pengenalan ini?

Sebagai permulaan, beri perhatian kepada sifat-sifat utama anda - yang baik dan yang jahat. Senaraikan tiga untuk setiap satu kategori. Jika anda tidak tahu atau tidak pasti, mintalah mereka yang paling mengenal anda - ibu bapa, adik-beradik, sahabat karib dan guru - untuk memberi komen. Perhatikan jawapan mereka khususnya kepada sifat-sifat yang timbul kerap kali.

Satu lagi hal yang perlu disenaraikan ialah apa yang anda suka dan tak suka:
  • Buat pada waktu lapang 
  • Makan 
  • Tentang amalan-amalan agama yang anda anuti 
Akhirnya, bolehkah anda terangkan impian anda untuk masa depan dengan merujuk kepada apa yang mahu dilakukan, dicapai dan tempat di mana impian ini akan dicapai? 

Ini sangat penting kerana bakal teman hidup anda akan bersama anda pada masa depan dan anda perlu tahu keadaan anda, amalan anda dan di mana anda berada pada masa depan. Mengetahui ini akan membantu anda mencari teman hidup yang sesuai untuk bersama anda di masa hadapan yang anda akan berusaha untuk ciptakan.

Jadi, untuk menjawab soalan, “Bagaimanakah saya tahu dia sesuai sebagai teman hidup saya?”, saya ajukan anda bermula dengan menjawab soalan ini: Siapakah saya? Jawapan kepada soalan ini akan menentukan siapa yang sesuai dengan diri anda yang telah dikenal pastikan.

Keluarkan kertas dan pen (atau hidupkan komputer riba anda) dan mulalah menulis jawapan untuk soalan-soalan ini: 
  • Sifat-sifat utama saya (baik dan buruk) 
  • Apa saya suka dan tak suka (aktiviti, makanan, amalan agama) 
  • Masa depan saya (yang diimpikan dan akan diciptakan) 
Mulakan biografi ringkas anda dengan memberi semua maklumat peribadi yang standard dan kemudian susuli dengan jawapan kepada tiga soalan ini mengikut urutan yang diberi. Jika anda mahu, anda boleh kirimkan satu salinan kepada saya untuk diedit dan dikomen.

Selamat menulis.