Saturday, February 11, 2017

Wanita Rambut Panjang Mengurai...

CUTI tahunan yang masih berbaki lima hari digunakan Maya untuk mengikuti Program Jelajah Kampung yang dianjurkan oleh Jaya Excellence Consultancy. Dia seorang yang kuat bekerja dan jarang-jarang mengambil cuti tahunan. Apabila tiba masanya untuk ‘clear leave’, Maya biasanya suka menghabiskan masanya untuk mengembara dan menyertai program-program khidmat masyarakat.


Hari keempat berada di program itu, sudah bermacam-macam kisah pelik tersebar mengenai Nadya di kalangan semua peserta. Pada malam pertama program, mereka dikejutkan dengan kelakuan Nadya yang tiba-tiba sahaja berbaju Kebaya dengan kain batik lepas. Rambutnya yang kelabu juga sudah bertukar hitam dan disanggul rapi. Lagaknya juga seperti wanita zaman 60-70an. Sikapnya juga bertukar dari wanita moden yang sombong kepada wanita kampung yang sopan.

Malam kedua program, Thilaga menemui Nadya mandi berseorangan di bilik air pada jam tiga pagi. Thilaga yang ketika itu terbangun kerana terasa mahu membuang air kecil, terlihat Nadya hanya berkemban dengan rambutnya terurai panjang sedang menuju ke arah bilik air. Dek kerana sudah tidak tahan mahu membuang air, Thilaga tidak mempedulikan Nadya lalu segera berlalu ke tandas. Ketika mahu melangkah keluar tandas, tiba-tiba Thilaga terdengar bunyi cakaran di pintu tandas. Terkejut mendengar bunyi itu, Thilaga mengunci mulut dan dirinya yang ketakutan sehingga dia merasa benar-benar berani hendak keluar. Melihat tiada apa-apa di luar pintu tandas dan kedengaran bunyi Nadya sedang menjirus air, Thilaga lantas pantas melangkah keluar. Namun langkahnya kembali terhenti apabila terdengar suara Nadya tiba-tiba sahaja menegurnya dari arah belakang.

“Hei, Thilaga. Takut kena cakar hantu ke? Hehehehehe.” Mendengarkan teguran itu, Thilaga lantas membuka langkah seribu tanpa menoleh sedikitpun ke arah Nadya yang menegurnya tadi. “Korang, aku takutlah. Si Nadya tu pelik semacam,” Thilaga bersuara gusar. Maya tidak menjawab. Dia tidak tahu jawapan apa yang harus diberikannya walaupun dia tahu kenapa Nadya berkelakuan pelik sebegitu. Dia tidak mahu orang salah faham terhadap dirinya.

“Betul weh. Pagi tadi akupun terkena dengan perangai pelik dia,” sampuk Farah. “Dia buat perangai apa pulak kali ni?” tanya Anita. “Aku bertembung pulak dengan dia dalam bilik air masa nak mandi pagi tadi. Aku nampak dia sidai kain basahan dia lepastu dia baring kat bawah kain tu. Dia letak kepala dia betul-betul bawah air yang menitis dari kain basahan tu dengan mata terpejam sambil mulut dia terkumat-kamit baca mantera kot aku rasa sebab sepatah aku tak faham apa benda yang dia baca,” cerita Farah. “Aku jadi macam krik krik krik tengok kelakuan dia jadi aku berdiri aje kat situ macam batu,” sambung Farah lagi.

“Gila psiko seh dia tu,” Anita bersuara tidak senang. “Tulah, tapi disebabkan nak mandi, aku terpaksa tabahkan hati jugak. Lepas mandi, aku tengok dia masih lagi macam tu. Tak sanggup nak hadap, aku blah ke bilik. Boleh gila aku dibuatnya!” “Korang jangan risau, bukan kita lama kat sini,” Maya yang sedari tadi diam mulai bersuara. “Eh, kau belum kena lagi bolehlah sembang do.Memanglah tak lama, tapi nak hadap satu malam lagi dengan dia hish tak sanggup rasanya,” keluh Farah. “Sama macam kau dan Thilaga, akupun kena gangguan jugak,” perlahan sahaja Maya membalas.

Jawapan selamba Maya tadi membuatkan Farah terdiam dan terkebil-kebil. Thilaga dan Anita tiba-tiba diselebungi rasa takut. “Kau, kau kena ganggu jugak? Kau kena ganggu macam mana?” ujar Farah seperti tergagap-gagap. “Malam semalam, dalam pukul tiga pagi jugak, aku tiba-tiba tersedar. Aku jarang tersedar tiba-tiba macam tu melainkan kalau aku mimpi buruk. Tapi aku rasa aku tak mimpi apa-apapun. Entah macam mana aku boleh tersedar. Dalam pada aku blur tu, tiba-tiba aku terbau setanggi. Bila aku amati, macam dari rumah bawah,” cerita Maya tertangguh. Dia berfikir apakah dia harus menyambung ceritanya.

Maya tidak segera membalas. Dia tidak tahu samada dia patut ceritakan babak seterusnya itu. Babak dia bertentang mata dengan ‘makhluk’ yang sebenarnya mendampingi tubuh Nadya. “Aku terus lari masuk bilik,” ringkas sahaja jawapan Maya bagi memendekkan cerita dan menamatkan peluang untuk dia disalah tafsir. “Kali ni aku betul-betul rasa takut gila weh. Malam ni entah-entah giliran aku pulak yang dikacaunya. Maya, aku takut sangat,” Anita sudah hampir menangis ketakutan. “Apa kata kita semua tidur dalam satu bilik aje malam ni? Lagipun fasi dengan kem komanden pun cadangkan benda yang sama jugak. Sebab katanya kita tak boleh tamatkan program semata-mata sebab si Nadya yang psiko tu,” ujar Farah sambil menyembunyikan rasa takutnya.

Anita dan Thilaga segera mengangguk. Melihatkan keadaan itu, Maya juga turut memberi anggukan tanda setuju dengan cadangan Farah. Walau bagaimanapun, Maya merasakan bahawa Nadya perlu dibantu dan diselamatkan segera. Jika ‘makhluk’ itu terus dibiarkan bersama dengan Nadya, Nadya mungkin tidak akan menjadi dirinya sendiri lagi. Sebelum senja nanti dia mahu berbicara dengan Pak Osman perihal rumah lama itu. Dia juga ingin meminta bantuan sesiapa sahaja yang handal di dalam ilmu perubatan Islam di kampung itu untuk membantu Nadya kerana dia tidak mampu untuk melawan ‘makhluk’ itu sendirian.

Penerangan kem komanden program itu, Syed Izmi, memeranjatkan semua peserta terutama sekali peserta wanita. “Ya Allah, Nadya hilang?” serentak ucapan yang keluar dari mulut Farah dan Anita. Sebenarnya Nadya tidak hilang. Nadya ada di dalam rumah dan telah dikuasai sepenuhnya oleh ‘penunggu’ rumah itu. ‘Penunggu’ itu tidak mahu melepaskan Nadya pergi kerana telah seronok ‘menetap’ di dalam tubuh Nadya. Setelah berbincang dengan Pak Osman dan Maya, Syed Izmi membuat keputusan untuk mengatakan bahawa Nadya hilang.

Selepas menerima arahan dari Syed Izmi, semua peserta beragama Islam memulai bacaan zikir. Perlahan, ustaz Bahrain juga mulai berjalan mendekati tangga rumah lama itu. Mulutnya terkumat-kamit membaca ayat-ayat suci al-Quran dan diikuti oleh tiga orang anak muridnya dari belakang. Tiba-tiba angin dingin berhembus kencang bagaikan dilanda ribut menyebabkan semuanya berterbangan. “Bismillahhirramanirrahim,” lafaz ustaz Bahrain tenang lalu meletakkan telapak kaki kanan dan kirinya di atas anak tangga pertama rumah lama itu. “Arghhhhhhhhh! Jangan kau berani masuk ke rumah aku si anak cucu Adam yang jijik! Herghhh!” Terdengar Nadya bertempik dari dalam rumah.

Tidak lama kemudian, salah satu jendela rumah itu terbuka dan Nadya sedang duduk bertenggek di muka jendela itu. Kemunculan Nadya dalam keadaan bertenggek dengan rambutnya yang panjang mengurai, mata merah menyala dan wajah yang berbirat-birat itu membuatkan semua orang yang berada di perkarangan rumah itu terdiam dalam ketakutan yang amat sangat.

“Wanita yang kau tumpang itu juga anak cucu Adam. Tidak kau rasa jijik dengan tubuhnya?” lantang jawapan ustaz Bahrain. “Heh, kau diam! Mana perempuan yang bawa kau datang ke mari hah? Mana diaaaaaaa!” Nadya bertempik lagi dan kali ini dia melompat turun ke atas tanah dan dalam keadaan mencangkung, matanya melingas ke kiri dan kanan seperti sedang mencari sesuatu. Ustaz Bahrain lantas menuju ke arah Nadya sambil tiga anak muridnya dengan pantas mengelilingi Nadya.

“Maaayaaa! Kau perempuan mari kau ke sini! Mariii!” lantang jeritan Nadya bagaikan harimau sedang mengaum. Thilaga, Farah, Anita lantas menoleh ke arah Maya dengan perasaan terkejut dan takut yang sudah bercampur-baur. Namun, reaksi Maya yang tenang membuatkan mereka bertambah terkejut. Adakah Maya juga seorang psiko yang tidak takut langsung dengan perkara sebegitu? “Maya, kekal di tempat duduk awak dan teruskan apa yang awak baca,” arah ustaz Bahrain.

Maya mengangguk tenang sambil memejam matanya lalu meneruskan bacaan ayat suci al-Quran yang sudah dibacanya sedari awal tadi. Babak itu meninggalkan berbagai spekulasi di benak setiap peserta tentang siapakah sebenarnya Maya dan apa kaitan Maya dengan ‘penunggu’ yang merasuk Nadya? “Kurang ajar! Kau memang kurang ajar! Sejak kau datang aku memang tak suka dengan kau! Aku dah pesan pada kau jangan ganggu urusan aku! Kau memang kurang ajar Maya!” ucap Nadya dalam amarah yang meluap-luap sehingga mukanya semakin biru dan matanya semakin merah menyala.
Jeritan Nadya tidak dipedulikan. Ustaz Bahrain tetap meneruskan bacaan dan anak muridnya, Faliq juga tidak berhenti melaungkan azan. Dalam pada Nadya berguling-guling di atas tanah, ustaz Bahrain dengan kemas menangkap kepala Nadya lalu tangan kanannya memegang kuat ubun-ubun Nadya. “Arghhhhhhh! Jangan sentuh rambut aku! Jangan sentuh, arghhhhhhhh!” Nadya menjerit-jerit kesakitan.

“Bismillahi-Masyaallah. Bismillahi-Masyaallah. Bismillahi-Masyaallah,” ucap ustaz Bahrain sambil tangan kanannya terus memegang ubun-ubun Nadya. “Sakittttt! Sakittttt! Arghhhhhhhh!” Nadya menjerit kuat dengan kaki dan tangannya menggelupur bagaikan diserang sawan babi. “Bismillahi-Masyaallah. Bismillahi-Masyaallah. Bismillahi-Masyaallah,” ustaz Bahrain tetap juga meneruskan ucapan itu. “Baik. Baik. Aku keluar. Aku janji aku tak kacau perempuan ni lagi. Aku keluar sekarang,” akhirnya ‘penunggu’ di dalam tubuh Nadya mengalah dan tidak lama kemudian, Nadya terjelopok di atas tanah tidak sedarkan diri.

Melihatkan keadaan itu, Maya segera mendapatkan Nadya yang sudah lemah longlai. Dapat dilihat rambut Nadya sudah bertukar kembali ke warna kelabu seperti awal program. Peserta lain beku dan kaku setelah melihat sendiri apa yang terjadi ke atas Nadya sebentar tadi. Mulut mereka bagaikan terkunci rapi. “Alhamdulillah, terima kasih Allah. Semuanya dah selesai,” ucap Maya dalam tangisan kesyukuran.

Selepas kejadian malam itu, Nadya telah diambil pulang oleh kedua ibu bapanya bagi memastikan keselamatannya terjamin. Ustaz Bahrain juga telah ‘membunuh’ penunggu yang merasuk tubuh Nadya dan ‘membersihkan’ rumah lama itu. Namun, malam itu semua peserta wanita diminta untuk menetap di rumah Pak Osman bagi memastikan keselesaan mereka.

Menurut Pak Osman, rumah lama itu adalah rumah peninggalan arwah neneknya. Bilik yang Nadya duduki itu adalah bilik milik arwah neneknya. Arwah neneknya dahulu merupakan seorang jelitawan dan Ratu Kebaya yang digilai oleh pemuda-pemuda kampung. Oleh kerana rambutnya yang cantik dan panjang separas punggung, penduduk kampung menggelarnya si Panjang Mengurai. Walaupun setelah mempunyai cucu, arwah neneknya masih kelihatan muda dan cantik.

Namun, ketika arwah neneknya meninggal dunia, barulah segala rahsia terbongkar. Arwah neneknya mengamalkan ilmu hitam untuk kekal muda dan cantik. Tidak diketahui dari mana arwah neneknya menuntut ilmu itu namun apa yang di beritahu pada Pak Osman, arwah neneknya tidak boleh menyikat rambut dengan sikat selain sikat kayu yang berukir dengan figura burung merak. Sikat itu juga haruslah diasapkan dengan setanggi pada setiap malam.

Setelah ketiadaan arwah neneknya, tiada siapa lagi mahu menetap di situ lalu Pak Osman membuat keputusan untuk menjadikan rumah itu sebagai rumah penginapan. Namun, Pak Osman tidak menyangka rupanya ‘belaan’ arwah neneknya masih lagi ‘menghuni’ rumah itu kerana sebelum ini tiada penyewa pernah mengadu akan sebarang perkara pelik yang berlaku di rumah itu. Dia merasa amat sesal atas kejadian yang menimpa Nadya.

“Maya, kau ni sebenarnya siapa? Bomoh ke?” tanya Farah sebaik sahaja mereka tiba di ‘base camp’ Jaya Excellence Consultancy. “Kau rasa?” balas Maya dengan senyum sarkastik. “Weh, aku dari semalam curious gila nak tahu do! Kau janganlah main tarik tali macam ni,” rungut Farah. Maya tertawa perlahan. Tidak lama kemudian, Anita dan Thilaga menyertai mereka berdua.

“Beritahulah Maya. Kita orang punya rasa ingin tahu ni dah macam gunung berapi meletus-letus rasanya,” sampuk Thilaga. “Aku bukan bomoh. Aku cuma manusia yang boleh melihat apa yang manusia lain tak boleh lihat. Dan aku sedang belajar untuk jadi pengamal perubatan Islam dengan izin Allah,” balas Maya tenang dan bersahaja. “Maksud kau, kau ni manusia yang matanya tak berhijab? Wah hebat!” sampuk Anita. “Ya. Nama sebenar aku Maya Andarra dan aku memiliki sepasang mata yang tidak berhijab dan segala pujian kembali pada Allah SWT.”

INI PUN MENARIK DIBACA JUGA: