SALAH sebuah permainan video paling dinantikan iaitu The Last Guardian (TLG) bakal menemui para pemain tidak lama lagi.
Pemain harus mengawal karakter seorang budak dan Trico dalam pengembaraan yang cukup menarik ditampilkan di dalam The Last Guardians.
Berita mengenai pelancaran permainan video ini telah diumumkan sejak tahun 2007 dan pernah ditunda selama beberapa kali sebelum ia berjaya dikeluarkan.
Secara dasarnya, permainan video yang dibina oleh Gendesign Studio untuk pelantar PS4 ini memberikan pengalaman yang cukup berbeza dan sangat mengagumkan.
Jalin hubungan persahabatan
Kisah dalam TLG bermula dengan menampilkan seorang lelaki tua yang mengulas semula pengalamannya sewaktu dia masih kecil dan diculik. Apabila tersedar, dia dapati dirinya dikurung di dalam sebuah istana.
Selepas diculik, budak itu mendapati ada tatu pelik di atas badannya di mana sebelum ini tiada sebarang tatu di bahagian badannya.
Semasa cuba untuk melarikan diri, dia terserempak dengan makhluk ganjil bernama Trico yang juga dikurung di situ dan cedera. Dia turut membantu untuk melepaskan Trico daripada ikutan yang membelenggu dirinya dan mengubati lukanya.
Bermula dari situ, mereka mula bekerjasama untuk melepaskan diri dari kawasan kurungan istana tersebut. Satu hubungan persahabatan di antara mereka juga mula terjalin di sepanjang kembara itu.
Pada asalnya, Trico juga kelihatan agak ganas dan berhati-hati dengan budak itu namun selepas seketika barulah hubungan persahabatan mereka mula terjalin.
Selain Trico, ada juga makhluk lain di istana itu yang serupa dengannya namun tidak diketahui sama ada ia berpihak sebagai musuh atau kawan.
Corak permainan menarik
Di sepanjang permainan video ini, para pemain mesti menjaga Trico dengan baik seperti haiwan peliharaan agar hubungannya dengan budak itu menjadi semakin baik.
Semakin erat hubungan persahabatan di antara mereka maka akan menjadi lebih mudah untuk mengawal segala pergerakan Trico dan mendapatkan pertolongan daripadanya.
Pemain turut bertemu dengan Trico dan membebaskannya serta menjalinkan hubungan persahabatan.
Pemain harus mengawal karakter yang diculik dan dikurung di dalam sebuah istana.
Perhatikan juga perubahan pada warna mata Trico untuk mengetahui moodnya. Jika ia menunjukkan warna ungu maka bermakna Trico sedang berada dalam keadaan marah.
Pemain juga perlu menggunakan taktik untuk menyuruh Trico pergi ke sesuatu lokasi seperti membaling tong atau menggunakan makanan untuk mengumpannya.
Di samping itu, pemain juga perlu mengawal budak tatkala melakukan aksi melompat dan apabila budak itu hampir dengan tempat jatuh, pemain harus bijak mengawal Trico untuk menyelamatkan budak tersebut.
Pemain juga harus berhati-hati terhadap para pengawal berperisai yang cuba untuk menangkap karakter budak dan Trico kerana sekiranya mereka tertangkap maka itu juga menandakan bahawa permainan ini berakhir dengan kegagalan.
Bimbing Trico dalam membantu karakter budak yang dimainkan untuk menyelesaikan teka-teki di sekeliling untuk melepaskan diri.
Justeru, sekiranya anda teruja untuk mengalami sendiri aksi pengembaraan yang unik dan sangat menarik ini jangan terlepas untuk mendapatkan The Last Guardian yang dikeluarkan untuk pelantar PS4.