Seorang pemuda berusia 28 tahun di Minahasa Selatan di sini, menarik perhatian apabila berkahwin dengan wanita berusia 82 tahun, Sabtu lalu, selepas setahun saling kenal mengenali.
Kisah pemuda itu kini heboh di media sosial Indonesia selepas selepas gambarnya berkahwin Martha Potu tersebar di Internet.
Sofian, 28, bersama isterinya, Martha, 82, di rumah mereka di Minahasa Selatan, Sulawesi Utara.
Sofian yang bekerja di sebuah bengkel berkata, dia berkenalan dengan Martha kira-kira setahun lalu selepas wanita itu tersilap mendail nombor telefonnya.
Menurut Kompas ketika ditemui semalam, Sofian berkata: “Setahun lalu saya menerima panggilan telefon daripada pemanggil tidak dikenali, saya menjawab dan kami berkenalan.
Sejak hari itu kami sering berhubung tanpa mengetahui umurnya. “Saya belum pernah bercinta sebelum ini, dan saya berasa jatuh cinta,” kata Sofian.
Tidak tahan dengan perasaan cintanya, Sofian nekad mengunjungi Martha di Lelama, yang jaraknya amat jauh.
Saat bersua muka kali pertama dengan Martha, Sofian terkejut. “Saya tidak sangka Martha sudah setua ini.
Namun, kami berasa benar-benar jatuh cinta, dan sepakat melanjutkan hubungan ini,” kata Sofian.
Selepas beberapa bulan, mereka bercadang berkahwin yang menerima bantahan banyak pihak, terutama keluarga Martha, namun mereka bertekad untuk berkahwin.
Sofian memberitahu ibu bapanya di Pulau Mantahage serta mengajak mereka menemui Martha dan melamarnya tanpa memberitahu usia calon bakal isterinya itu.
“Kami tidak tahu calon isterinya seorang nenek. Kami sangat terkejut namun apa lagi mahu dikata.
“Kami lihat mereka saling menyayangi, lalu bersetuju dengan pilihannya. Jodoh itu urusan Tuhan,” kata ibunya, Magdalena, 60.
Suami Martha meninggal dunia 10 tahun lalu dan tinggal seorang diri manakala dua anaknya anaknya berada di Jerman dan Arab Saudi.
“Saya berdoa kepada Tuhan jika masih diizinkan dan diberi kesempatan, saya meminta ada suami yang boleh mengurus saya pada usia tua ini.
“Tak sangka Tuhan mengutus Sofian,” kata Martha. - Agensi/HMetro