Apa itu agen saraf VX? “Ethyl S-2-Diisopropylaminoethyl Methylphosphonothiolate” atau “Agen Saraf VX” juga disebut "VX Nerve Agent" telah disenaraikan sebagai senjata kimia di bawah Jadual 1 Akta Konvensyen Senjata Kimia 2005 dan Konvensyen Senjata Kimia (CWC) 1997.
Tujuan VX dicipta adalah supaya boleh digunakan ketika peperangan sebagai agen saraf yang tidak mempunyai rasa, tidak mempunyai bau dan sukar dikesan.
Huruf VX membawa maksud ‘venom’ yang terdiri daripada komponen sebatian yang berpotensi tinggi dan mempunyai ciri-ciri untuk menembusi kulit.
VX sukar dikesan di mana ia memerlukan dua sebatian yang boleh dicampurkan pada saat ia mahu digunakan ke atas mangsa.
Manakala Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dalam Resolusi 687, mengelaskan agen saraf VX sebagai senjata pemusnah besar-besaran.
VX sangat berbahaya kerana cuma 10mg diperlukan untuk menyebabkan kematian hanya melalui sentuhan kulit dan dos maut median bagi penyedutan dianggarkan 30-50 mg, min/m3.
VX tampil dalam bentuk cecair berminyak yang berwarna cokelat kekuningan tetapi tidak mempunyai bau dan rasa.
Badan pemikir yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) Council on Foreign Relations menyifatkan VX sebagai “agen saraf paling membawa maut yang pernah dicipta”.
Konvensyen Senjata Kimia PBB 1993 pula mengharamkan pengeluaran VX melebihi 100 gram setahun untuk satu-satu tempat.
Pertubuhan Larangan Senjata Kimia, yang mempromosikan CWC, hanya membenarkan pengecualian untuk tujuan kajian, perubatan dan farmaseutikal untuk membawa keluar VX dari pusat pengeluaran berskala kecil dengan jumlah agregat tidak lebih 10kg setahun bagi satu-satu tempat.
Agen saraf VX juga jauh lebih berbahaya berbanding gas sarin yang sudah diketahui ramai bahayanya. Sarin, yang juga tidak berwarna dan tidak berbau, turut dikategorikan sebagai senjata pembunuh besar-besaran.
Bagaimana VX boleh wujud?
Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC), Amerika Syarikat (AS), VX pada mulanya dibangunkan di United Kingdom sebagai senjata kimia untuk digunakan ketika peperangan.
The Guardian melaporkan agen saraf ‘VX Nerve Agent’ dicipta oleh ahli kimia bernama Ranaji Ghosh yang bekerja untuk Imperial Chemical Industries di United Kingdom sekitar 1950-an.
Akademi Sains, Kejuruteraan dan Perubatan Washington pula berkata, tentera British pernah mengkaji ketoksidannya sebelum menyerahkan formula VX kepada tentera AS.
AS memulakan pengeluaran besar-besaran VX pada tahun 1961.
Pernahkah VX digunakan sebagai senjata?
Memetik CDC, CNN melaporkan VX dipercayai telah digunakan dalam perang Iran-Iraq sekitar tahun 80-an.
Tentera AS juga terlibat dalam beberapa pengeluaran terkawal dan tidak sengaja gas itu.
Iraq di bawah pemerintahan presiden Saddam Hussein turut dipercayai menggunakan VX untuk menyerang puak Kurdish pada tahun 1988.
Negara mana yang memiliki VX?
Setakat ini hanya AS dan Rusia yang mengaku memiliki stok VX bagaimanapun, The Guardian percaya lebih banyak lagi negara lain yang memiliki bahan itu.
Dibawah Konvensyen Senjata Kimia PBB, AS telah memusnahkan sebahagian kecil simpanannya, diikuti oleh Rusia.
Menurut NGO antarabangsa antisenjata pemusnah besar-besaran, Inisiatif Ancaman Nukelear (NTI), Korea Utara mendakwa tidak pernah menjalankan program senjata kimia.
Bagaimanapun, negara itu dipercayai memiliki antara 2,500 hingga 5,000, termasuk VX, menjadikan Korea Utara sebagai pihak ketiga yang paling banyak memiliki senjata kimia selepas AS dan Rusia.
Kerajaan Korea Utara dipercayai mampu menghasilkan kebanyakan jenis senjata kimia, namun perlu mengimport beberapa prekursor untuk menghasilkan agen sarat, yang telah pun dilakukan sebelum ini.
Pada kapasiti maksimum, Korea Utara dijangka mampu menghasilkan sehingga 12,000 tan (senjata kimia).
Agen saraf seperti sarin dan VX dianggap menjadi fokus pengeluaran Korea Utara, lapor The Guardian.
Apa kesan VX kepada manusia?
Menurut Akademi Kebangsaan AS, pendedahan dengan dos hampir membunuh menyebabkan mangsa akan hilang kesedaran, kekejangan, hilang upaya bergerak dan masalah apnea.
VX adalah yang paling bertoksik dalam kategori agen saraf dan boleh membunuh mangsa melalui campuran dalam makanan atau bekalan air atau digunakan terus ke atas kulit mangsa.
Seperti semua agen saraf, VX juga menyebabkan enzim-enzim penting tubuh tidak berfungsi, yang membawa kepada keletihan dan ketidakmampuan pernafasan.
Mangsa boleh mati dalam masa 15 minit jika VX digunakan dalam bentuk gas dengan kekuatan 100 kali ganda gas sarin yang pernah digunakan dalam serangan stesen kereta api bawah tanah di Tokyo, Jepun pada 1995.
Simptomnya juga akan bermula sejurus selepas terkena sehingga 18 jam kemudian, bergantung kepada sejauh mana pendedahan tersebut.
Mangsa juga boleh pitam manakala dos yang banyak boleh menyebabkan kelumpuhan dan maut akibat kegagalan sistem pernafasan.
Dos yang rendah pula boleh menyebabkan degupan jantung bertambah kencang, loya, air liur meleleh, penglihatan menjadi kabur, kesakitan dan kelesuan.
Cara VX Membunuh Mangsa
O-Ethyl S-2-Diisopropylaminoethyl Methylphosphonothiolate atau Agen Saraf VX adalah organophosphate (OP) yang sangat beracun dalam bentuk cecair dan boleh mengganggu sistem saraf badan dengan teruk dan digunakan sebagai agen saraf di dalam perang kimia.
VX berfungsi dengan menghalang enzim acetylcholinesterase dari berfungsi dan menyebabkan otot-otot mengecut secara berterusan.
Kegagalan acetylcholinesterase untuk berfungsi menyebabkan otot-otot mangsa mengecut sehingga ke tahap yang kritikal (supercontraction).
Kegagalan itu juga menyebabkan semua otot-otot mangsa menjadi lumpuh termasuklah otot diafragma (diaphragm muscle) dan mangsa akan mengalami kesukaran untuk bernafas yang amat teruk dan akan meninggal dunia dalam keadaan menderita kerana kesukaran bernafas (asphyxiation).
VX tiada penawar?
Walaupun terdapat penawar, ia hanya berkesan dengan sempurna apabila dirawat segera kerana bahan itu bertindak pantas.
Sehingga kini, mangsa yang terdedah dengan dos VX yang tinggi tidak mampu hidup lama walaupun sudah ada penawar bagi racun VX.
Sumber: mk