Thursday, September 29, 2016

PBT Beri 'Surat Cinta' Kepada Gadis Nasi Lemak Anak Dara.

Gadis cantik itu menjadi sensasi Internet bukan sahaja kerana 'jenama' nasi lemaknya, tetapi juga kecekalan mencari rezeki dengan meniaga di tepi jalan, walaupun berpendidikan tinggi.

Bagaimanapun, meniaga bukan perkara mudah, banyak liku-liku perlu ditempuhi, termasuk disaman pihak berkuasa tempatan (PBT).


Pemilik gerai Nasi Lemak Anak Dara Siti Hajjar Ahmad, yang menjadi viral kira-kira sebulan lalu, semalam berkongsi kembali cabaran dihadapinya itu, tetapi dengan cara penuh positif.

Menerusi Facebook, Siti Hajjar Ahmad berkata dia disaman penguatkuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) kerana tiada lesen penjaja.

"Biasalah kena saman kalau jadi penjaja. Hehe. Anggap itu dugaan buat kita sebagai peniaga yang cari sesuap nasi. Insya-Allah setiap yang jadi ada hikmah.

"Benda halal yang kita buat tetap kena teruskan. Jangan fikir benda remeh temeh kalau nak berjaya!" tulisnya semalam.

Siti Hajjar, 24, seorang lepasan ijazah, bagaimanapun tenang menghadapi tindakan penguat kuasa dan menceritakan dia berniaga untuk meneruskan hidup tanpa menyusahkan ibunya.

"Setiap hasil titik peluh saya dari perniagaan nasi lemak saya gunakan untuk semua pembayaran.

"Sejak saya mula berniaga tak pernah terdetik untuk guna duit mak. Mak pernah hulur duit masa saya balik kampung hari tu tapi saya tolak sebab saya dah tekad dalam diri saya takkan menyusahkan sesiapa pun.

"Biar semuanya datang dari usaha saya sendiri," katanya yang sebelum ini dilapor turut menjual tudung secara atas talian.

Siti Hajjar memiliki ijazah kejuruteraan elektronik perubatan daripada Universiti Tun Hussein Onn dan bakal menghadiri majlis konvokesyen pada Oktober ini.
Sebelum ini kisah mengenai gerai nasi lemaknya mendapat perhatian warga maya.

Anak ketiga daripada lima adik beradik dan berasal dari Sungai Petani, Kedah ini pada awal merantau ke Shah Alam, Selangor bagi mencari peluang pekerjaan.

Dia kemudian memutuskan untuk membuka gerai nasi lemak sementara mendapat kerja.

Sikap Siti Hajjar yang tidak memilih kerja, sebaliknya berdikari dengan membuka perniagaan sendiri menerima pujian daripada orang ramai.

Penguat kuasa datang lagi

Sementara itu menerusi semakan Malaysiakini, Siti Hajjar berkata dia sekali lagi didatangi penguatkuasa MBSA hari ini, namun tidak sempat disaman kerana telah menghabiskan jualannya.

"Saya minta maaf tak dapat buka (gerai) esok pagi sebab tadi MBSA ada datang lagi, tapi nasib baik dah nak angkat meja masa tu.

“Mungkin dia nak beli nasi lemak kot sebab ada bagi nasi lemak kat mereka semalam. Mesti sedap ni, hahaha," tulisnya.

Justeru itu, katanya, mulai esok dia hanya akan menerima pesanan menerusi panggilan telefon tanpa membuka gerai nasi lemak seperti biasa.

Berkenaan lesen pula, Siti Hajjar berkata dia sememangnya mahu memohon lesen berniaga, tetapi perlu mengumpul duit untuk urusan tertentu.

"Sekarang saya tengah usaha nak kumpul duit sebab banyak benda saya kena guna. Terima kasih sokong saya," tulisnya.

Sumber: Malaysiakini