Sejarah singkat 6 Pahlawan Murut Sabah yang mungkin sebahagian tidak kita kenali.
1. Ontoros bin Antanom
Dia dijuluk “Raja terakhir kaum Murut” dengan pengaruh kekuasaanya mulai dari Keningau sampai ke Sungai Selilir di kawasan Kalimantan. Sejak diangkat menjadi pemimpin kaum Murut Tagol di kampungnya, dia telah berjaya menundukkan musuh-musuhnya dan menyatukan kaum Murut Tagol. Dia menjadi sangat terkenal setelah berjaya mengalahkan musuh terbesar mereka, iaitu, kaum Murut dari Tolokoson. Pada puncak kejayannya, dia menguasai kira-kira 60 kampung dan memimpin sebanyak 900 pasukan untuk menentang British serta membina 5 kubu pertahanan. Perjuangan Ontoros bermula sejak tahun 1910 dan berakhir pada tahun 1915. Motif penentangan Ontoros adalah mengusir penjajah British dari wilayah kekuasaannya.
2. Dato Setia Bakti
Dato Setia Bakti merupakan pemimpin kaum Murut di kawasan Padas-Klias. Dato Setia Bakti merupakan seorang pedagang, dan ketidakpuashatiannya bermula ketika pihak British melarangnya untuk memperjual belikan serbuk senjata api. Menurut salah satu sumber, British juga berang dengan Dato Setia Bakti kerana telah berlaku tidak jujur dalam perdagangan, dia dikatakan telah mengambil kerbau-kerbau pihak Company British. Ketika terjadi pembakaran beberapa kampung Murut, Dato Setia Bakti telah mengumpulkan pasukan Murut lalu menyerang British. Perjuangan Dato Setia Bakti berakhir pada tahun 1888, ketika pihak British bertindak balas menyerang beberapa perkampungan Murut, di mana 57 orang terkorban di pihak Murut. Motif perjuangan Dato Setia Bakti adalah untuk mengusir British dari Padas-Klias.
3. Banissah
Banissah merupakan rakan seperjuangan Dato Setia Bakti dalam menentang British di kawasan Padas-
Klias. Punca penentangan Banissah terhadap British adalah kerana undang-undang British yang melarang kegiatan headhunting, menyebabkan dia tidak dapat melakukan aktiviti pembalasan dendam terhadap kaumnya. Pada 1885, pasukan Company British telah membakar perkampungan Nanga Palawan kerana telah melakukan aktiviti headhunting.
Tindakan ini menyebabkan ketidakpuashatian di hati Banissah, dia tidak mahu berhenti melakukan aktiviti headhunting. Pembakaran kampung Murut dilakukan oleh Pangeran Shahbudin, seorang pemimpin kaum Bajau. Pangeran Shahbudin merupakan orang bawahan pihak Company British, dan dia memimpin pasukan polis Dayak untuk membakar kampung Murut yang melakukan headhunting. Maka, dari sebab itulah maka Dato Setia Bakti dan Banissah telah memimpin penduduk Murut, sehingga terjadi pembunuhan terhadap Radin Salleh, pembantunya dan 4 polis Dayak Iban pada tahun 1888. Motif penentangan Banissah adalah untuk mengusir British kerana terdapat pertentangan kebudayaan antara British dan kaum Murut.
4. Tahang
Penentangan Tahang merupakan sebuah penentangan berbentuk pergerakan religius pada mulanya. Ketika terjadi pembunuhan beramai-ramai 130 orang kaum Murut Tenggara oleh Raffles Flint dan G.Hewin di Sungai Pigau, untuk membalas dendam kematian abang kepada Raffles Flint oleh pemimpin Murut Tenggara, telah menciptakan kerenggangan hubungan antara kaum Murut pendalaman dan pihak Company British. Pergerakan religius oleh pahlawan Murut bernama Tahang bermula ketika suatu hari dia bermimpi dikunjungi oleh makhluk ghaib yang mengatakan bahwa beberapa ritual dapat membuatkan dia dan pengikut-pengikutnya dapat melihat makhluk ghiab, kebal, dapat menghidupkan orang mati dan bahkan memiliki sayap untuk terbang.
Banyak kaum Murut Sepulut mengikuti Tahang dan mengikuti ritual2 keagamaan yang dijalankan olehnya. Pergerakan keagamaan Tahang sebagai nabi bagi kaum peribumi pendalaman telah menyebar sampai ke kawasan Padas, Keningau, Ulu Papar dan bahkan sampai ke Putatan. Akan tetapi, pergerakan keagamaan ini juga telah menyebabkan terbunuhnya kira-kira 21 orang yang membayar cukai kepada pihak Company British yang terdiri daripada orang Dusun, Murut, Brunei, Dayak dan China di beberapa perkampungan di pendalaman. Pergerakan ini dianggap oleh British sebagai pergerakan melawan pemerintahan pihak Company, maka pergerakan ini dibasmi oleh British. Motif penentangan Tahang adalah untuk melawan kebudayaan British yang dianggap bertentangan dengan kebudayaan Murut.
5. Babalayong
Sebelum penentangan Ontoros Antanom di Rundum, seorang pemimpin Murut yang bernama Babalayong terlebih dahulu melakukan penentangan terhadap British pada tahun 1914. Penentangan Babalayong adalah kerana ketidakpuashatiannya terhadap Company British yang menyuruh mereka membuat jalan melintasi sebuah kawasan berbatu, sehingga menyebabkan mereka memberontak. Pihak British mengirim pasukan untuk menangkapnya, tapi dia gagal ditangkap. Banyak orang Murut yang terpaksa meninggalkan kampung halaman mereka untuk mengelak dari diambil berkerja oleh British untuk membuat jalan.
Setelah beberapa lama berlalu, dia pun menyerahkan senjata kepada British dan bersumpah setia dengan British. Menurut salah satu kisah dari Tambunan, Babalayong terbunuh dalam pertempuran dengan British, seorang Pahlawan Dusun yang menjadi sekutu British berjaya memenggal kepalanya kemudian dibawa ke Tambunan. Motif penentangan Babalayong adalah, membebaskan diri dari menjadi buruh pembuat jalan pihak Company British.
6. Sarjan Korom
Sarjan Korom berasal dari Kg. Sumatalun Pensiangan, pendalaman Sabah. Dia merupakan salah satu pahlawan Murut yang terkenal di zaman Jepun, dan memiliki reputasi sebagai orang yang memiliki ilmu kebatinan yang sangat tinggi. Kisahnya mendapat kekuatan Supernatural bermula ketika dia tidur di sebuah rumpun bambu, di mana seorang wanita cantik tiba-tiba muncul dan menawarkannya kekuatan mistik dengan syarat dia harus menjadikan wanita itu isterinya. Sepanjang perkhidamatannya dengan pihak British, dia digeruni kerana ilmu batinya.
Beliau dikatakan pernah diseksa dgn bermacam-macam seksaan oleh pasukan Jepun, mulai dari sebat sampailah ditarik dengan jip kereta Jepun, tapi tidak ada satupun jenis seksaan itu yg dpt melukai Korom. Dia juga pernah dipancung tapi senjata Samurai Jepun tidak mampu menembusi lehernya. Antara pencapaian beliau adalah mengetuai suatu serangan ke atas pasukan Jepun, memporak poranda markas Jepun hingga mereka berjaya membebaskan 500 orang tentera British dari tahanan Jepun. Dia juga pernah menyusup ke Pulau Berhala Sandakan, membebaskan dua pegawai tinggi British yang terkurung di sana. Jasanya membebaskan dua pegawai tinggi British di Pulau berhala menyebabkan dia diberikan pingat “Victoria Cross”.
Dia antara kenamaan Sabah dan Sarawak yang dijemput ke London pada 17 Jun 1946 untuk menerima pingat penghargaan dari pihak British. Beliau meninggal pada tahun 1960 di Kakutar, Sumatalun, Pensiangan Sabah. Menurut kisah, kuburannya masih memiliki kekuatan mistik yang kuat, dikatakan binatang seperti tikus yang memasuki kuburannya akan serta merta mati. - Aki Rumantai, 2016.