Washington: Kes seorang perampas terjun dari sebuah pesawat dengan payung terjun bersama wang tebusan kira-kira 45 tahun lalu kekal menjadi jenayah paling menghairankan dan membingungkan pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS).
Sejak kejadian itu, tiada sebarang berita mengenai lelaki pertengahan umur yang berpakaian kemas berkenaan.
Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) kelmarin berkata, kes itu membabitkan siasatan yang dianggap antara paling lama dan meletihkan dalam sejarah agensi berkenaan.
Kini, selepas beberapa tahun, agensi itu tidak lagi secara aktif menyiasat kes lelaki yang menggelar dirinya Dan Cooper dan dikenali sebagai DB Cooper itu.
FBI dalam satu kenyataan memberitahu, selepas melihat semua petunjuk yang boleh dipercayai, siasatan terpaksa dihentikan.
Semua dana yang digunakan dalam kes Cooper disalurkan untuk memberi tumpuan kepada penyiasatan yang lebih utama.
Suspek yang memakai kot dan bertali leher itu merampas sebuah pesawat penerbangan Northwest Orient jenis Boeing 727 pada 24 November 1971 yang ketika itu dalam penerbangan dari Portland, Oregon ke Seattle, Washington.
Selepas pesawat itu mendarat dengan selamat, dia mengambil payung terjun dan wang tebusan $200,000 (RM800,000) sebelum membebaskan 36 penumpang.
Pesawat itu kemudian berlepas sekali lagi bersama anak kapal sebagai tebusan, kali ini menuju ke Mexico.
Tidak lama selepas itu, dia melompat keluar dari bahagian belakang pesawat menggunakan payung terjun dengan memeluk wang tebusan dalam keadaan udara malam yang sejuk membeku.
Kes itu menerima banyak petunjuk tetapi semuanya tidak mendatangkan sebarang hasil positif. Suspek sehingga kini tidak pernah ditemui dan identitinya kekal misteri. - AFP